KUALA LUMPUR - Bintang Hollywood, Mark Wahlberg, kini berada di Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran filem terbaharu terbitan Netflix berjudul The Big Fix, yang dijangka berlangsung selama kira-kira dua minggu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran, mengesahkan kepada New Straits Times bahawa penggambaran bermula pada Jumaat lalu, melibatkan beberapa lokasi ikonik di sekitar negeri itu.
Antara lokasi yang dipilih termasuk Lorong Kulit, Stadium Bandaraya, Stadium Batu Kawan dan Padang Macallum, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu latar utama bagi beberapa babak filem berkenaan.
Produksi yang diselaraskan oleh Biscuit Films di Malaysia itu turut menampilkan pelakon Britain, Riz Ahmed, sebagai antara pelakon utama yang bergandingan dengan Wahlberg.
Kehadiran Wahlberg mula mencuri perhatian orang ramai selepas satu video dimuat naik di Facebook oleh laman Rakyat E-Hailing MY, yang memaparkan pelakon berusia 55 tahun itu berada di lokasi penggambaran di Lebuh Melayu, George Town.
Dalam rakaman tersebut, Wahlberg dilihat berdiri di sebelah sebuah Perodua Kelisa berwarna perak sambil dikelilingi kru produksi dan beberapa kenderaan lain.
Perkongsian itu pantas tular di media sosial dengan ramai warga maya terhibur melihat bintang Hollywood tersebut bergambar di samping kereta kompak ikonik Malaysia itu.
"Filem Transformers baharu? Saya nak tengok Kelisa itu akan bertukar jadi Transformer apa," tulis seorang pengguna media sosial secara berseloroh.
Seorang lagi pengguna pula bergurau bahawa Perodua Kelisa berkenaan mungkin akan dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi selepas digunakan dalam penggambaran bersama Wahlberg.
Dalam masa sama, timbul juga spekulasi dalam kalangan netizen bahawa aktor terkenal itu sempat mengunjungi restoran Nasi Kandar Sulaiman, namun perkara itu masih belum disahkan.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac, turut mengesahkan kehadiran produksi filem tersebut di Malaysia menerusi ruangan komen pada hantaran media sosial berkenaan.
The Big Fix dilaporkan mengisahkan seorang pegawai Interpol yang mempunyai kaitan dengan FIFA sebelum membongkar sindiket mengatur perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa, sekali gus mencetuskan siasatan berisiko tinggi merentasi beberapa negara.
Filem terbitan Netflix itu menjalankan penggambaran utama di Sydney, Australia, manakala beberapa babak tambahan dirakam di beberapa negara lain termasuk Malaysia.
Selain Wahlberg dan Riz Ahmed, filem berkenaan turut dibintangi pelakon Singapura, Chin Han, pelakon India, Vipin Sharma, serta pelakon Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nuha Jes Izman.
Wahlberg merupakan antara pelakon dan penerbit terkenal Hollywood yang pernah membintangi pelbagai filem pecah panggung seperti The Departed, The Fighter, The Italian Job, Ted, Lone Survivor, Patriots Day, Daddy's Home dan francais Transformers.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back