LONDON - Sebuah syarikat pelancongan dari England tampil dengan tawaran luar biasa kepada penyerang sensasi Norway, Erling Haaland, dengan menawarkan pakej percutian mewah percuma sepanjang hayat bernilai jutaan pound.
Namun, tawaran itu hadir dengan satu syarat yang unik Haaland perlu memulakan percutian pertamanya hujung minggu ini dan destinasi pilihannya mestilah bukan Miami.
Haaland dijadual mengetuai cabaran Norway menentang England dalam aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Miami, awal pagi Ahad, selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan tujuh gol sepanjang kejohanan.
Syarikat pelancongan On the Beach memaklumkan, pakej berkenaan meliputi sehingga 10 percutian setiap tahun sepanjang hayat untuk Haaland bersama keluarga dan rakan-rakannya ke lebih 280 destinasi di seluruh dunia.
Menurut syarikat itu, tawaran tersebut hanya akan berkuat kuasa sekiranya Haaland bersetuju untuk bercuti pada Ahad ini ke mana-mana destinasi selain Miami.
Dalam kenyataan berseloroh, pihak pengurusan On the Beach berkata satu-satunya cara untuk menghalang Haaland daripada terus menjaringkan gol adalah dengan menghadiahkannya "kerusi berjemur, pasport dan percutian percuma ke mana-mana destinasi di dunia sepanjang hayat."
Jurucakap syarikat, Caspar Nelson, berkata Haaland sudah bekerja keras sepanjang musim panas dan sewajarnya diberikan peluang untuk berehat.
"Kami dengan gembira akan menghantar Erling, keluarganya dan rakan-rakannya bercuti sepanjang hayat.
"Cuma ada satu syarat kecil. Dia perlu mengambil percutian pertama pada Ahad ini dan destinasinya mestilah di mana-mana sahaja kecuali Miami.
"Malah, kami dengar Mauritius yang terletak di bahagian bertentangan dunia merupakan destinasi yang sangat menarik," katanya.
Haaland menjadi tumpuan selepas menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan ketika Norway menewaskan juara dunia lima kali, Brazil, 2-1 untuk mara ke suku akhir.
Penyerang itu kini berkongsi tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak Piala Dunia bersama bintang Perancis, Kylian Mbappe, dengan tujuh gol, manakala kapten England, Harry Kane, hanya ketinggalan satu gol dengan enam jaringan setakat ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back