KUALA LUMPUR - Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mengesahkan seorang pelakon wanita yang didakwa positif dadah digantung sementara daripada penggambaran drama terbitannya susulan penahanan oleh pihak berkuasa.
Menurut Yusof, pelakon terbabit sepatutnya menjalani penggambaran pada hari ini, namun keputusan menggantungnya dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.
"Sepatutnya ada penggambaran hari ini. Tetapi sudah jadi macam ini, saya terpaksa gantung dia sementara," katanya ketika mengulas isu berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu juga tidak menjejaskan keseluruhan produksi memandangkan proses penggambaran drama bersiri kepolisan berkenaan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.
"Kami hanya berbaki kira-kira dua minggu sebelum tamat penggambaran. Apa yang berlaku ini biarlah menjadi satu pengajaran.
"Polis juga sudah banyak mengingatkan supaya pelakon tidak terbabit dengan dadah atau apa-apa perkara negatif. Apabila sudah terlibat dengan dadah, memang tidak baik," katanya.
Yusof turut memaklumkan bahawa beliau sentiasa mengingatkan barisan pelakon agar menjaga tingkah laku, memelihara nama baik serta berhemah ketika menggunakan media sosial.
"Kita akan habiskan penggambaran seperti biasa kerana kebanyakan babak sudah selesai dan hanya tinggal beberapa babak sahaja lagi. Jika dia tidak ada pun, tidak menjadi masalah. Insya-Allah, kami dapat menyiapkan baki penggambaran," katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui insiden itu sedikit mencalarkan usaha promosi drama berkenaan yang baru dilancarkan dan bakal memasuki minggu kedua tayangan pada Jumaat ini.
"Kita sudah beri nasihat mengenai perkara ini. Namun, apa yang berlaku biarlah menjadi iktibar kepada semua," katanya sambil menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi sebuah drama kepolisan popular ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Pelakon terbabit ditahan bersama 17 individu lain dalam operasi yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back