MEXICO CITY - Jude Bellingham menyifatkan kemenangan dramatik England 3-2 ke atas Mexico pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia sebagai detik terbaik dalam karier antarabangsanya, selepas meledak dua gol untuk membantu The Three Lions mara ke suku akhir.
Pemain tengah Real Madrid itu meledak dua gol dalam tempoh hanya 95 saat pada babak pertama, sekali gus membungkam lebih 80,000 penyokong tuan rumah di Estadio Azteca.
England kemudian mempertahankan kelebihan mereka dengan penuh disiplin meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Norway pada suku akhir.
"Ia adalah hari terbaik sepanjang karier saya bersama England. Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini dengan kata-kata," kata Bellingham.
Beliau mengakui perlawanan itu berlangsung dalam suasana penuh dramatik dengan jaringan gol, penalti serta kad merah, namun memuji semangat juang yang dipamerkan rakan sepasukan untuk memastikan kemenangan.
Bellingham turut memberikan penghargaan kepada skuad kendalian Thomas Tuchel yang berjaya mengharungi cabaran beraksi di altitud tinggi selain kelewatan sepak mula selama sejam akibat cuaca buruk.
"Pada masa lalu, dalam situasi seperti ini England mungkin sudah tewas di bawah tekanan, tetapi kali ini kami kekal bersatu sehingga wisel penamat.
"Semua pemain memberikan segala-galanya dan itulah identiti pasukan ini," katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu kini sudah mengumpul empat gol daripada lima penampilan sepanjang kejohanan, sekali gus menjawab keraguan yang timbul sebelum Piala Dunia mengenai kedudukannya dalam kesebelasan utama Tuchel.
Bellingham juga berharap kemaraan England mampu menyatukan rakyat negara itu ketika mereka memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh enam dekad.
"Tidak kira dari mana anda datang atau apa pekerjaan anda, saya percaya semua orang bersatu pada malam seperti ini. Itulah impian saya, menyatukan negara dan menghadiahkan detik istimewa seperti ini kepada mereka.
"Saya amat bangga dengan pasukan ini. Apa yang kami lakukan malam ini benar-benar luar biasa," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back