KUALA LUMPUR - Kuching City FC terus memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu apabila mengesahkan ketibaan pemain tengah berpengalaman, Nazmi Faiz Mansor, secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun media sosial rasmi kelab pada malam tadi, hanya sehari selepas Nazmi mengumumkan perpisahannya dengan Harimau Selatan.
Kehadiran bekas pemain kebangsaan itu sekali gus mengesahkan spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke skuad The Cats bagi menghadapi kempen musim depan.
Dalam perkembangan sama, Kuching City turut memperkenalkan penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls, yang sebelum ini beraksi bersama Penang FC.
Menerusi video pengenalan pemain di media sosial, kelab itu menyifatkan kehadiran Wenzel-Halls sebagai permulaan baharu buat pasukan.
"Dalam bola sepak, setiap bandar menanti kemunculan wira baharunya. Setiap musim menuntut sebuah kisah yang baharu. Lembaran baharu kini bermula. Keputusan sudah dibuat.
"Seorang tonggak bahagian serangan kini menyertai 'City of Unity' dengan penuh cita-cita dan tekad. Dylan Wenzel-Halls kini secara rasmi bergelar pemain Kuching City FC. Perjalanan bermula sekarang," menurut kenyataan kelab.
Kuching City dijangka memerlukan skuad yang lebih mantap dan mendalam bagi mengharungi jadual padat musim depan, termasuk cabaran di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Pengalaman dimiliki Wenzel-Halls juga dijangka menjadi aset penting kepada pasukan, selepas membantu Central Coast Mariners muncul juara Piala AFC pada musim 2023/24.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back