KANADA - Cristiano Ronaldo bakal sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengetuai Portugal menentang Croatia dalam pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, dengan misi memecahkan rekod peribadi yang masih menghantuinya sepanjang karier di pentas terbesar bola sepak dunia.
Walaupun sudah mencipta sejarah sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia, semua 10 jaringan Ronaldo setakat ini hadir pada saingan peringkat kumpulan.
Penyerang berusia 41 tahun itu masih belum menemui sentuhan dalam lapan perlawanan kalah mati yang pernah diharunginya, menjadikan aksi menentang Croatia sebagai peluang terbaik untuk menamatkan penantian tersebut.
Pada penampilan sulungnya di Piala Dunia 2006, Ronaldo menjaringkan satu gol ketika menentang Iran, namun gagal mencetak nama dalam empat aksi kalah mati ketika Portugal menamatkan kempen di tempat keempat.
Empat tahun kemudian di Afrika Selatan, Portugal tersingkir pada pusingan 16 selepas tewas kepada Sepanyol. Ronaldo hanya meledak satu gol sepanjang kejohanan itu.
Kempen di Brazil pada 2014 pula tidak berjalan lancar apabila kecederaan menjejaskan prestasinya. Portugal gagal melepasi peringkat kumpulan walaupun Ronaldo menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan.
Pada edisi 2018 di Russia, Ronaldo memulakan kejohanan dengan cemerlang menerusi hatrik ke atas Sepanyol, namun sekali lagi gagal memberikan sebarang sumbangan gol atau bantuan jaringan ketika Portugal disingkirkan Uruguay pada pusingan 16 terbaik.
Piala Dunia 2022 di Qatar menjadi detik paling sukar buat kapten Portugal itu apabila hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti sebelum kehilangan tempat dalam kesebelasan utama pada peringkat kalah mati. Portugal kemudian tewas kepada Maghribi di suku akhir, manakala Ronaldo meninggalkan padang dengan penuh emosi selepas impian menjulang trofi Piala Dunia tidak kesampaian.
Ramai menjangkakan edisi Qatar menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun Ronaldo membuktikan sebaliknya apabila kembali memimpin Portugal pada kejohanan 2026.
Dia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjaringkan gol ketika menentang Uzbekistan, sekali gus membantu Portugal mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, aksi kurang menyerlah ketika menentang DR Congo dan Colombia mencetuskan persoalan mengenai kemampuannya untuk terus menjadi sandaran utama Portugal berdepan lawan yang lebih mencabar.
Kini, Croatia yang diketuai Luka Modric menjadi halangan seterusnya buat Ronaldo. Selepas dua dekad beraksi di pentas Piala Dunia, pertemuan itu bukan sahaja penting buat Portugal, malah berpotensi menjadi detik bersejarah apabila Ronaldo berpeluang menjaringkan gol pertama dalam aksi kalah mati dan menambah satu lagi pencapaian istimewa dalam karier gemilangnya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back