KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan komitmennya untuk terus menyokong perkembangan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, dengan menyalurkan dana berjumlah RM1.8 juta bagi menghadapi saingan Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata peruntukan itu disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan serta kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memastikan pembangunan kerjaya pelumba berusia 19 tahun itu dapat diteruskan.
Beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengurangkan peruntukan untuk Hakim Danish, malah terus komited menyediakan sokongan kewangan dalam usaha membantu pelumba itu mengukuhkan kedudukannya di pentas perlumbaan antarabangsa.
Menurut Taufiq, kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM8.93 juta bagi pembangunan Hakim Danish sejak program pembangunan bakatnya bermula.
"Bagi tahun 2026, tiada sebarang pengurangan dana dibuat. Sebanyak RM1.8 juta terus disalurkan melalui Geran Padanan Sukan dan SIC untuk pembangunan Hakim Danish serta atlet lain," katanya ketika menjawab isu berkaitan sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet permotoran negara di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjelaskan laluan pembangunan Hakim Danish dirancang secara sistematik sejak 2021 menerusi kerjasama antara KBS dan SIC, bermula di Asia Talent Cup sebelum meneruskan saingan dalam European Talent Cup, Red Bull MotoGP Rookies Cup, FIM JuniorGP dan kini Kejuaraan Dunia Moto3.
Selain dana kerajaan, SIC turut menyediakan pembiayaan awal sebanyak RM453,000 bagi membantu penyertaan Hakim Danish dalam kempen Moto3 musim 2026.
Dalam perkembangan sama, Taufiq berkata KBS akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan atlet akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia, termasuk bakat muda seperti Qabil Irfan Azlan.
"Kita sudah melahirkan seorang Hakim Danish yang hebat. Matlamat kita sekarang ialah melahirkan 10 atau 20 lagi Hakim Danish untuk mewakili negara di pentas dunia," katanya.
Beliau pada masa sama menggesa lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong pembangunan sukan negara dengan memanfaatkan insentif potongan cukai yang disediakan kerajaan bagi sumbangan kepada aktiviti dan badan sukan yang diluluskan, sekali gus memperkukuhkan ekosistem pembangunan atlet negara.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back