Amerika Syarikat - Pertahanan tengah Argentina, Cristian Romero, kembali menjalani latihan penuh bersama skuad kebangsaan semalam, sekali gus meningkatkan peluangnya untuk diturunkan dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia menentang Cape Verde awal pagi Sabtu ini.
Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini diketepikan daripada perlawanan terakhir Kumpulan J selepas mengalami kecederaan lutut ketika Argentina menewaskan Austria 2-0 pada 22 Jun lalu. Romero terpaksa dikeluarkan pada minit ke-57 susulan kecederaan berkenaan.
Ketiadaan Romero menyaksikan pemain berpengalaman, Nicolas Otamendi, mengisi tempatnya dalam kesebelasan utama ketika Argentina mencatat kemenangan 3-1 ke atas Jordan.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu selepas pasukannya lebih awal mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan J.
Menurut Scaloni, Romero merupakan satu-satunya pemain yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Jordan, namun beliau optimis pertahanan Tottenham Hotspur itu akan kembali cergas menjelang saingan kalah mati.
Argentina kembali menjalani latihan di Kansas City semalam selepas diberi cuti sehari, dengan Romero turut menyertai sesi latihan penuh bersama rakan sepasukannya.
Sebelum aksi menentang Jordan, Romero dilaporkan sudah kembali berlatih, namun tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan yang dibuka kepada pihak media pada minggu lalu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back