HOUSTON - Pemain tengah Jepun, Kaishu Sano, mengakui kekalahan menyakitkan kepada Brazil membuktikan bahawa persembahan cemerlang tidak membawa sebarang makna jika gagal diterjemahkan kepada kemenangan.
Skuad Samurai Biru menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh kekecewaan selepas tewas 2-1 kepada Brazil menerusi jaringan Gabriel Martinelli pada masa kecederaan dalam aksi kalah mati.
Jepun yang tampil penuh disiplin hampir mencipta kejutan apabila mendahului lebih awal hasil jaringan Sano pada babak pertama. Pasukan bimbingan Hajime Moriyasu turut berjaya menyekat asakan Brazil untuk tempoh yang panjang sebelum pengalaman juara dunia lima kali itu menjadi pemisah.
Casemiro menghidupkan peluang Brazil menerusi gol penyamaan pada minit ke-56 sebelum Martinelli muncul wira dengan gol kemenangan pada minit keenam masa kecederaan, sekali gus menamatkan impian Jepun untuk mara lebih jauh.
Bercakap selepas perlawanan, Sano tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan cara pasukannya tersingkir, namun tetap berbangga dengan perkembangan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
"Keputusan adalah segala-galanya. Sudah tentu saya sangat kecewa kerana pasukan ini tidak sepatutnya berakhir seperti ini. Tewas pada saat-saat akhir menunjukkan kami masih belum cukup baik.
"Namun, apa yang kami lakukan selama ini bukan sesuatu yang salah. Saya percaya kami boleh berbangga dengan apa yang telah dibina," katanya.
Jepun mempamerkan prestasi meyakinkan sepanjang saingan peringkat kumpulan, termasuk mengikat Belanda 2-2 dan membelasah Tunisia 4-0. Bagaimanapun, rentak cemerlang itu gagal diteruskan apabila berdepan kekuatan dan pengalaman Brazil di pentas kalah mati.
Kekalahan tersebut turut menyaksikan Jepun sekali lagi gagal melepasi pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia, iaitu mara ke pusingan 16 terbaik yang pernah dicapai pada edisi 2002, 2010, 2018 dan 2022.
Sementara itu, pertahanan Ko Itakura yang menggalas tugas sebagai kapten menggantikan Wataru Endo, yang terlepas kejohanan akibat kecederaan sebelum mengumumkan persaraan antarabangsa, turut meluahkan rasa kecewa.
"Saya tidak pernah menyangka perjalanan kami akan berakhir di sini," katanya.
Itakura mengakui kekalahan itu sukar diterima memandangkan Jepun memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan.
Penyingkiran Jepun juga menyaksikan harapan Asia kini hanya digalas Australia yang bakal berdepan Mesir dalam aksi seterusnya.
Bagi Brazil, kemenangan itu hadir selepas mereka bergelut menembusi pertahanan tersusun Jepun sepanjang perlawanan. Gol penyamaan Casemiro mengubah momentum sebelum Martinelli memastikan Selecao meneruskan kemaraan.
Brazil kini melangkah ke pusingan 16 terbaik dan akan menanti pemenang antara Ivory Coast dan Norway.
Lebih manis buat Brazil, jaringan Martinelli turut mencipta rekod sebagai gol kemenangan paling lewat dalam masa permainan sebenar (90 minit) bagi aksi kalah mati Piala Dunia sejak data Opta mula direkodkan pada 1966.
Walaupun Jepun pulang dengan penuh kekecewaan, aksi dipamerkan sepanjang kejohanan memberi gambaran bahawa Samurai Biru terus berada di landasan tepat untuk muncul antara pencabar utama dunia pada masa depan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back