Amerika Syarikat - Paraguay melakar antara kejutan terbesar Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan juara dunia empat kali, Jerman, menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik, hari ini.
Kekalahan itu turut mencatat sejarah apabila menjadi kali pertama Jerman tewas dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia. Ia sekali gus menamatkan kemaraan skuad kendalian Julian Nagelsmann yang kembali beraksi di peringkat kalah mati buat kali pertama sejak muncul juara dunia pada 2014.
Paraguay membuka tirai jaringan menjelang tamat babak pertama menerusi tandukan penyerang muda, Julio Enciso. Gol itu hadir hasil hantaran lintang Matias Galarza selepas pertahanan Jerman gagal mengeluarkan bola daripada situasi sepakan penjuru.
Jaringan Enciso turut mencipta rekod baharu buat Paraguay apabila menjadi gol pertama mereka dalam aksi kalah mati Piala Dunia selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima perlawanan terdahulu di peringkat itu, termasuk kekalahan 0-1 kepada Jerman pada pusingan 16 terbaik edisi 2002.
Jerman kembali mengimbangi permainan pada minit ke-54 apabila Kai Havertz menanduk masuk hantaran Florian Wirtz untuk mencetak gol ketiganya dalam kejohanan kali ini.
Selepas itu, Jerman menguasai sebahagian besar permainan, namun aksi cemerlang penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, menggagalkan beberapa peluang terbaik lawan, termasuk percubaan berbahaya daripada Havertz.
Skuad Eropah itu hampir berada di depan ketika masa tambahan apabila Jonathan Tah menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru. Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Waldemar Anton melakukan kekasaran terhadap Gill dalam situasi berkenaan.
Perlawanan yang berlarutan sehingga penentuan sepakan penalti akhirnya memihak kepada Paraguay.
Gill sekali lagi menjadi watak utama apabila menepis sepakan Kai Havertz dan Nick Woltemade. Walaupun Paraguay terlepas dua peluang untuk menamatkan perlawanan lebih awal, kegagalan Jonathan Tah menyempurnakan sepakannya membuka ruang kepada Jose Canale untuk menyempurnakan penalti terakhir sekali gus mengesahkan kemenangan bersejarah 4-3.
Kejayaan itu dianggap antara pencapaian paling bermakna Paraguay di pentas Piala Dunia, namun cabaran lebih sukar menanti mereka pada pusingan 16 terbaik apabila dijadual bertemu Perancis sekiranya Les Bleus menewaskan Sweden dalam satu lagi aksi pusingan 32 terbaik.
Sebelum perlawanan, Nagelsmann melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama termasuk memberi peluang pertama kepada Deniz Undav untuk bermula selepas penyerang itu menjaringkan tiga gol sebagai pemain gantian pada peringkat kumpulan. Nathaniel Brown pula kembali mengisi posisi bek kiri selepas pulih daripada kecederaan ringan.
Paraguay pula menerima suntikan semangat dengan kepulangan kapten Miguel Almiron selepas selesai menjalani penggantungan satu perlawanan. Pemain berpengalaman itu memainkan peranan penting membantu pasukannya menyerap tekanan berterusan daripada Jerman sebelum melakar kemenangan sensasi yang akan dikenang dalam sejarah bola sepak negara itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back