EAST RUTHERFORD - Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui skuad The Three Lions masih belum mencapai prestasi terbaik walaupun berjaya mengesahkan status juara Kumpulan L selepas menewaskan Panama 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, awal pagi semalam.
Menurut Tuchel, kemenangan itu menjadi petanda positif, namun beliau percaya anak buahnya masih mempunyai banyak ruang untuk memperkemaskan corak permainan menjelang aksi pusingan kalah mati.
"Kami mencipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan dua gol. Saya percaya pasukan ini akan terus meningkat apabila saingan memasuki fasa kalah mati. Semakin besar cabaran yang menanti, semakin baik prestasi kami.
"Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kerana kami perlu memastikan setiap aspek permainan berada pada tahap terbaik, terutama ketika bertahan dalam situasi satu lawan satu. Kini kejohanan sebenar bermula. Kami akan mengumpulkan semula kekuatan, tenaga dan semangat berpasukan," katanya.
England menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk muncul juara Kumpulan L, sekali gus mengelak pertemuan dengan Portugal yang menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan K pada pusingan 32.
Jude Bellingham membuka jaringan buat England sebelum Harry Kane menggandakan kelebihan menerusi gol ketiganya pada kejohanan kali ini.
Jaringan itu turut menyaksikan Kane muncul penjaring terbanyak England dalam sejarah Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod legenda Gary Lineker yang meledak 10 gol.
England kini bakal berdepan Republik Demokratik Congo yang menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan K dalam aksi Pusingan 32.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back