MIAMI – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, menyifatkan Vinicius Junior sebagai antara pemain terbaik dunia selepas penyerang itu menjaringkan dua gol ketika membantu Brazil menewaskan Scotland 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2026.
Dua gol yang dihasilkan Vinicius pada separuh masa pertama, termasuk satu menerusi tandukan, memastikan Brazil melangkah ke pusingan 32 terbaik sebagai juara kumpulan.
Ancelotti, yang pernah membimbing pemain berusia 25 tahun itu di Real Madrid selama empat musim, berkata beliau sentiasa yakin dengan kemampuan Vinicius.
"Saya tahu apa yang mampu dilakukan oleh Vini. Dia bermain dengan sangat baik dan menjaringkan gol menerusi tandukan yang jarang dilakukannya. Bermain untuk Brazil adalah satu penghormatan besar buat dirinya," katanya.
Vinicius kini mengumpul empat gol dalam tiga perlawanan, sekali gus meletakkannya dalam persaingan sengit bagi merebut Kasut Emas bersama Kylian Mbappe dan Erling Haaland. Beliau hanya ketinggalan satu gol di belakang Lionel Messi yang mendahului carta penjaring.
Lebih membanggakan, Vinicius berjaya menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, menyamai pencapaian legenda Brazil, Ronaldo dan Rivaldo pada edisi 2002.
Sebelum ini, hanya Jairzinho pada 1970 dan Romario pada 1994 pernah mencatat rekod sama, dengan Brazil muncul juara dunia dalam kedua-dua edisi tersebut.
Bagaimanapun, Vinicius menegaskan fokus utamanya adalah kejayaan pasukan, bukan statistik individu.
"Saya tidak terlalu memikirkan rekod peribadi. Jurulatih meletakkan saya di posisi baharu dan saya berjaya menyesuaikan diri untuk membantu pasukan," katanya.
Selain dua gol Vinicius, satu lagi jaringan Brazil disumbangkan oleh Matheus Cunha.
Perlawanan itu turut menyaksikan kepulangan Neymar yang membuat penampilan pertamanya sejak Oktober 2023 selepas pulih daripada kecederaan betis.
Ancelotti turut memuji komitmen pemain berusia 34 tahun itu yang bekerja keras untuk kembali cergas menjelang kempen memburu gelaran dunia keenam Brazil.
"Dia memiliki kualiti yang diperlukan pasukan. Walaupun berusia 34 tahun, dia masih mempunyai semangat bermain seperti seorang kanak-kanak," kata Ancelotti.
Brazil kini akan berlepas ke Houston bagi menghadapi aksi pusingan 32 terbaik pada Isnin depan, dengan Belanda, Jepun atau Sweden berpotensi menjadi lawan mereka.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back