MEXICO CITY – Mexico mengakhiri saingan Kumpulan A dengan rekod kemenangan sempurna selepas menewaskan Republik Czech 3-0 di Stadium Mexico City pada Khamis.
Keputusan itu mengesahkan kedudukan Mexico sebagai juara kumpulan dan melayakkan mereka ke pusingan 32 terbaik. Mereka dijadual kembali beraksi di venue yang sama pada 30 Jun.
Sebaliknya, kekalahan tersebut menyaksikan Republik Czech menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan sekali gus gagal meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya.
Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Mexico memecah kebuntuan menerusi Mateo Chavez pada minit ke-55.
Pasukan tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan apabila Julian Quinones menambah gol kedua enam minit kemudian hasil kelemahan benteng pertahanan lawan.
Alvaro Fidalgo melengkapkan kemenangan bergaya Mexico apabila menjaringkan gol ketiga pada minit keempat masa kecederaan.
Dalam perkembangan menarik, penjaga gol veteran Mexico, Guillermo Ochoa, turut diturunkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Penampilan itu mencatat sejarah tersendiri buat Ochoa yang kini berusia 40 tahun apabila beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia buat kali keenam sepanjang kariernya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back