EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat – Erling Haaland meneruskan aksi cemerlangnya di Piala Dunia apabila meledak dua gol untuk membantu Norway menewaskan Senegal 3-2, sekali gus mengumpul enam mata dan menyamai Perancis di tangga teratas Kumpulan I.
Norway membuka tirai jaringan pada minit ke-43 hasil kesilapan pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly, yang gagal melakukan hantaran keluar dengan kemas. Marcus Pedersen yang masuk sebagai pemain gantian memanfaatkan peluang itu dengan mara ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol, Edouard Mendy.
Haaland hampir menambah kelebihan sebelum rehat apabila percubaannya sekadar menggegarkan tiang gol. Namun, penyerang Manchester City itu tidak menunggu lama untuk menemui sasaran apabila menjaringkan gol kedua Norway tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi rembatan kencang hasil umpanan Martin Odegaard.
Senegal kembali memberi saingan pada minit ke-53 apabila Ismaila Sarr menjaringkan gol pertama pasukan selepas menerima hantaran tepat daripada Sadio Mane yang berjaya memecahkan benteng pertahanan Norway.
Bagaimanapun, kelekaan Senegal dalam mengeluarkan bola sekali lagi mengundang padah lima minit kemudian. Patrick Berg mencipta peluang buat Haaland yang melakukan voli terkena palang sebelum bola melantun masuk ke gawang untuk gol ketiga Norway dan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu.
Sarr menambah jaringan kedua buat Senegal pada minit ketiga masa kecederaan, namun kebangkitan lewat itu tidak mencukupi untuk menghalang Norway daripada meraih kemenangan kedua berturut-turut.
Keputusan itu menyaksikan Norway akan berdepan Perancis dalam aksi penentuan juara Kumpulan I yang dijadual berlangsung awal pagi Sabtu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back