DALLAS - Lionel Messi sekali lagi menjadi perhatian dunia bola sepak apabila kapten Argentina itu berpeluang mencipta sejarah baharu menjelang aksi menentang Austria dalam saingan Piala Dunia awal pagi esok.
Penyerang Inter Miami yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 pada Rabu itu meledak hatrik ketika membantu Argentina menewaskan Algeria 3-0, sekali gus menyamai rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose, dengan 16 gol.
Messi dilaporkan kelihatan sebak selepas menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan itu, dengan media tempatan kemudian mendedahkan bapanya sedang menjalani proses pemulihan daripada masalah kesihatan yang tidak diperincikan.
Pemenang Piala Dunia 2022 itu pada awalnya tidak memberi jaminan akan beraksi di kejohanan yang berlangsung di Amerika Utara, namun akhirnya kembali memimpin Argentina dalam usaha mempertahankan kejuaraan dan muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 memenangi Piala Dunia secara berturut-turut.
Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu sebelum ini memainkan peranan penting membawa Argentina menjulang trofi dunia empat tahun lalu, dan keinginan untuk terus beraksi di pentas terbesar bola sepak nyata sukar diketepikan.
Aksi kedua Kumpulan L menentang Austria di stadium tertutup milik Dallas Cowboys dijangka menjadi pentas terbaik buat Messi memecahkan rekod Klose.
“Pada akhirnya, ia hanya statistik dan tiada lebih daripada itu,” kata Messi yang dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman.
Kemenangan ke atas Austria bakal meletakkan skuad kendalian Lionel Scaloni hampir pasti mara ke kelompok 32 terbaik selaku juara Kumpulan L dengan satu perlawanan masih berbaki, selain memberi peluang kepada Messi untuk direhatkan menjelang aksi kalah mati.
Walaupun pernah berdepan kritikan kerana dikatakan gagal menampilkan prestasi terbaik bersama Argentina seperti ketika bersama Barcelona, pengaruh Messi kini terus menjadi pemangkin utama buat skuad Albiceleste.
“Jika ada yang beranggapan pasukan ini lebih baik tanpa Leo, hari ini jelas menunjukkan Leo adalah pemain paling penting buat kami,” kata pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister, selepas kemenangan ke atas Algeria.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back