BUENOS AIRES – Pengacara televisyen Argentina, Florencia Pena, meletakkan jawatan selepas tersilap melaporkan bahawa bapa kepada bintang bola sepak Lionel Messi, Jorge Messi, telah meninggal dunia.
Florencia, 51, membuat kenyataan tersebut ketika mengendalikan program El Show del Verano yang disiarkan menerusi saluran Luzu TV.
Kesilapan itu berlaku ketika Lionel Messi menjadi perhatian selepas meledak hatrik bagi membantu Argentina membuka kempen Piala Dunia dengan kemenangan 3-0 ke atas Algeria. Pemain berusia 38 tahun itu turut dilihat mengalirkan air mata selepas menjaringkan salah satu golnya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Semasa siaran langsung, Florencia mendakwa Jorge Messi telah meninggal dunia dan menyatakan Messi terpaksa meninggalkan pasukan di tengah-tengah saingan Piala Dunia.
Namun, keluarga Messi segera mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan laporan berkenaan.
Menurut keluarga itu, Jorge Messi sedang berdepan masalah kesihatan dan kini berada di bawah pemantauan perubatan, selain menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya.
“Keluarga Messi ingin memaklumkan bahawa Jorge sedang melalui satu situasi kesihatan. Ketika ini beliau berada di bawah pemantauan perubatan, sedang menjalani proses pemulihan dan menunjukkan perkembangan positif mengikut keadaannya,” menurut kenyataan tersebut.
Keluarga Messi turut melahirkan rasa kecewa terhadap penyebaran khabar angin dan spekulasi yang dianggap tidak sensitif serta tidak menghormati privasi keluarga.
Mereka menegaskan hanya ahli keluarga terdekat mempunyai maklumat yang tepat mengenai keadaan kesihatan Jorge Messi.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back