ARLINGTON, Texas - Harry Kane menjaringkan dua gol pada babak pertama untuk membantu England mencatat kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Dunia mereka di Texas, hari ini.
Kapten England itu meletakkan pasukannya di hadapan sebanyak dua kali, termasuk menerusi sepakan penalti, namun Croatia berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Martin Baturina dan Petar Musa.
England kembali menguasai permainan sejurus babak kedua bermula apabila Jude Bellingham menjaringkan gol hanya dua minit selepas wisel separuh masa kedua ditiup, sekali gus mengembalikan kelebihan buat skuad kendalian Thomas Tuchel.
Marcus Rashford kemudian melengkapkan kemenangan England dengan gol keempat ketika perlawanan berbaki lima minit, memastikan permulaan yang meyakinkan buat The Three Lions dalam misi memburu kejuaraan dunia.
Perlawanan berlangsung dalam suasana sengit dengan kedua-dua pasukan mempamerkan kelemahan di benteng pertahanan. England mencipta beberapa peluang tambahan selepas mendahului 3-2, namun hanya mampu menambah satu lagi jaringan menerusi Rashford.
“Perlawanan ini mempunyai dua cerita berbeza,” kata Kane kepada ITV selepas tamat perlawanan.
“Saya fikir kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, tetapi kecewa kerana melepaskan gol hasil kesilapan sendiri apabila kami mula hilang fokus.
“Kredit kepada pengurus yang memberikan kata-kata semangat ketika rehat. Beliau menegaskan bahawa jika kami tewas, ia bukan kerana lawan lebih baik, tetapi kerana kami tidak bermain mengikut identiti sendiri.
“Pada separuh masa kedua, kami tampil lebih agresif dan menyerang tanpa henti. Mereka tidak mampu menandingi intensiti permainan kami,” katanya.
Pertembungan itu mengimbau kembali aksi separuh akhir Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Croatia menyingkirkan England selepas masa tambahan.
Kali ini, England tampil lebih mantap untuk menewaskan salah satu skuad paling berpengalaman dalam kejohanan yang berlangsung di Amerika Utara itu.
Memburu trofi utama pertama sejak kejayaan menjulang Piala Dunia 1966, skuad Tuchel bagaimanapun memulakan aksi dengan sedikit gugup di hadapan lebih 70,000 penyokong yang memenuhi stadium tertutup milik pasukan NFL, Dallas Cowboys, sebelum menemui rentak untuk meraih kemenangan penting.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back