KANSAS CITY, 14 Jun - Persiapan pasukan England menjelang kempen Piala Dunia 2026 menerima tamparan awal apabila sebahagian peralatan pasukan dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Kansas City, Amerika Syarikat.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari sebelum skuad kendalian Thomas Tuchel memulakan saingan menentang Croatia pada 17 Jun ini.
Menurut laporan media Britain, peralatan berkenaan dipercayai dicuri ketika dihantar dari kem latihan England di Florida ke pangkalan rasmi pasukan di Kansas City.
Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk but pemain, bola latihan, pakaian pasukan, peralatan latihan, meja urut, kelengkapan staf kejurulatihan serta papan taktikal milik Tuchel.
Lebih membimbangkan, van yang digunakan untuk mengangkut peralatan tersebut dilaporkan telah dipecah masuk. Persatuan Bola Sepak England (FA) kini bekerjasama dengan pihak polis tempatan bagi menjalankan siasatan lanjut.
Laporan daripada Daily Mail mendakwa beberapa but milik pemain utama England, termasuk Harry Kane dan Jude Bellingham, mungkin antara barangan yang dicuri. Bagaimanapun, FA masih belum mengesahkan perkara itu kerana proses semakan inventori sedang dijalankan.
Dalam pada itu, kakitangan logistik FA dilaporkan sedang berusaha mendapatkan peralatan gantian bagi memastikan jadual latihan pasukan tidak terjejas menjelang perlawanan pembukaan.
Perkembangan terbaru turut menyaksikan dua individu ditahan bagi membantu siasatan. Namun, pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti jumlah sebenar barangan yang hilang serta motif kejadian.
Insiden berkenaan menambah cabaran buat England yang sebelum ini turut berdepan beberapa gangguan sepanjang kem latihan, termasuk insiden tembakan berhampiran lokasi pasukan serta gegaran akibat gempa bumi yang dirasai di kawasan tersebut.
England dijadual membuka kempen Piala Dunia 2026 menentang Croatia pada 17 Jun, dengan Tuchel kini berdepan tugas memastikan fokus dan persiapan skuadnya tidak terjejas oleh siri insiden yang berlaku.
Sumber: Oh Media!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back