GUADALAJARA, 12 Jun - Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, hari ini.
Penyerang gantian, Oh Hyeon-gyu, muncul wira skuad Taeguk Warriors apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukannya.
Korea Selatan mendominasi sebahagian besar perlawanan, namun beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan oleh kapten pasukan, Son Heung-min.
Republik Czech terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-59 menerusi tandukan kapten mereka, Ladislav Krejci, hasil lontaran jauh ke dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Hwang In-beom menyamakan kedudukan lapan minit kemudian. Pemain tengah itu bijak menyudahkan peluang dengan satu sentuhan yang menewaskan penjaga gol lawan untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Republik Czech hampir kembali mendahului pada minit ke-77 menerusi tandukan Tomas Soucek daripada situasi sepakan percuma. Namun, jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan berlaku kedudukan ofsaid.
Korea Selatan akhirnya menghukum kegagalan lawan memanfaatkan peluang apabila Hwang sekali lagi menjadi arkitek serangan dengan hantaran tarik ke belakang yang disempurnakan Hyeon-gyu dari jarak dekat untuk gol kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan mengumpul tiga mata dan berkongsi kedudukan teratas Kumpulan A bersama tuan rumah, Mexico, yang sebelum itu menewaskan Afrika Selatan 2-0.
Korea Selatan bakal berdepan cabaran lebih sukar apabila dijadual menentang Mexico di Guadalajara minggu depan, manakala Republik Czech akan bertemu Afrika Selatan dalam satu lagi aksi kumpulan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back