MORRISTOWN, New Jersey - Skuad Brazil terus memperhebat persiapan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang Maghribi pada Ahad ini, namun masih tanpa kelibat bintang utama mereka, Neymar, yang belum pulih daripada kecederaan.
Penyerang berusia 34 tahun itu tidak menyertai sesi latihan pasukan di Morristown apabila rakan sepasukannya meraikan ulang tahun ke-67 ketua jurulatih, Carlo Ancelotti.
Pemain-pemain Brazil memberi penghormatan kepada pengendali dari Itali itu menerusi tradisi “guard of honour”, dengan penyerang Raphinha sempat berseloroh mengenai situasi tersebut.
“Dia melalui upacara itu, tetapi tiada siapa menyentuhnya,” katanya sambil ketawa.
Ancelotti kini memikul misi besar untuk menamatkan penantian 24 tahun Brazil bagi menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam.
Dalam perkembangan berkaitan, Neymar masih menjalani program pemulihan selepas mengalami kecederaan betis tahap dua ketika beraksi bersama Santos pada pertengahan Mei lalu.
Beliau disahkan terlepas perlawanan pembukaan menentang Maghribi, manakala statusnya bagi aksi kumpulan seterusnya menentang Haiti dan Scotland masih belum dipastikan.
Walaupun tanpa pemain paling berpengaruh mereka, keyakinan terhadap peluang Brazil untuk mencabar kejuaraan tetap tinggi.
Bekas pemain tengah Brazil, Zinho, yang membantu negaranya muncul juara dunia pada 1994, percaya Selecao memiliki kualiti mencukupi untuk bersaing di pentas tertinggi.
“Brazil bukan pilihan utama untuk menjuarai kejohanan ini, tetapi mereka mempunyai pemain berkualiti yang mampu membentuk pasukan yang kuat. Saya percaya mereka mempunyai peluang,” katanya.
Zinho turut menjangkakan Brazil akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati ketika berdepan Maghribi, pasukan yang pernah mencipta sejarah dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia sebelum ini.
Pandangan itu turut disokong pengulas radio terkenal Brazil, Benjamin Back, yang percaya Ancelotti akan mengekalkan identiti permainan pasukan.
“Beliau akan membentuk pasukan yang berdisiplin ketika bertahan dan menunggu peluang melakukan serangan balas pantas apabila menguasai bola.
“Ia adalah kumpulan pemain muda yang memiliki kecergasan tinggi serta dibimbing jurulatih hebat. Saya meletakkan Brazil sebagai antara pasukan pilihan,” katanya.
Brazil akan memulakan kempen Kumpulan F dengan menentang Maghribi di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back