NEW JERSEY – Penyerang sensasi Brazil, Neymar, sedang menjalani program pemulihan intensif menggunakan teknologi canggih bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik menjelang kempen Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 34 tahun itu kini menjalani rehabilitasi kecederaan betis kanan yang berlarutan di New Jersey, Amerika Syarikat, dengan bantuan sawat injak anti-graviti yang direka khas untuk mengurangkan tekanan pada anggota badan yang cedera.
Teknologi tersebut membolehkan Neymar berjalan dan berlari dalam keadaan beban berat badan yang dikurangkan, sekali gus membantu mengekalkan kecergasan kardiovaskular serta kekuatan otot tanpa memberi tekanan berlebihan kepada bahagian yang sedang dipulihkan.
Sistem berkenaan berfungsi dengan meletakkan atlet di dalam ruang khas yang ditutup pada bahagian pinggang menggunakan skirt kembung, membolehkan mesin mengawal dengan tepat jumlah berat badan yang ditanggung oleh kaki sepanjang sesi latihan.
Melalui kaedah itu, pasukan perubatan dan jurulatih kecergasan dapat meningkatkan tahap beban secara beransur-ansur mengikut perkembangan proses pemulihan pemain.
Walaupun kelihatan futuristik, teknologi anti-graviti itu bukan sesuatu yang baharu dalam dunia bola sepak profesional. Ia telah digunakan secara meluas oleh kelab-kelab elit sejak lebih sedekad lalu sebagai sebahagian daripada program pemulihan kecederaan.
Di Brazil, beberapa kelab ternama termasuk Cruzeiro dan Flamengo pernah menggunakan peralatan sama bagi mempercepatkan proses pemulihan pemain yang mengalami kecederaan.
Dengan Piala Dunia 2026 semakin hampir, pasukan kebangsaan Brazil turut memanfaatkan teknologi berkenaan bagi memastikan pemain utama mereka berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran kejohanan itu.
Brazil yang berada dalam Kumpulan C akan memulakan kempen mereka menentang Maghribi, Scotland dan Haiti. Juara dunia lima kali itu kekal sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Dunia.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back