GENERAL SANTOS, Filipina - Sekurang-kurangnya 31 orang dilaporkan maut selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Filipina pada Isnin, menurut pihak berkuasa wilayah.
Bencana itu turut menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan serta mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan pesisir pantai di rantau berkenaan.
Agensi pengurusan bencana kebangsaan Filipina memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 12 individu masih hilang, manakala 134 lagi mengalami kecederaan akibat gempa tersebut.
Pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk yang tinggal di kawasan pantai terjejas supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga selepas gempa luar pesisir berlaku berhampiran Bandar General Santos yang mempunyai kira-kira 720,000 penduduk. Sekurang-kurangnya sembilan kematian direkodkan di bandar itu.
Menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), beberapa gegaran susulan kuat berlaku kira-kira dua jam selepas gempa utama, dengan gegaran paling kuat direkodkan pada magnitud 6.5.
Di General Santos, operasi mencari dan menyelamat diteruskan apabila pasukan penyelamat menggali runtuhan sebuah rangkaian kedai runcit popular bagi mencari dua pekerja yang dipercayai tertimbus.
Ketua pengurusan bencana wilayah Sarangani, Rene Punzalan, berkata seramai 14 orang maut di perbandaran Glan selepas tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa menimbus kediaman mereka di kaki bukit.
“Tanah runtuh berlaku sejurus selepas gempa bumi. Banyak nyawa terkorban akibat kejadian itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa kawasan masih belum dapat mengesahkan jumlah mangsa berikutan gangguan komunikasi dan bekalan elektrik.
“Cabaran terbesar ketika ini ialah komunikasi. Bekalan elektrik terputus dan menyukarkan usaha mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Punzalan berkata pihak berkuasa masih berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya lebih banyak gegaran susulan.
“Kami dapat merasakan ketakutan dalam kalangan penduduk yang masih bimbang dengan situasi semasa,” tambahnya.
Sementara itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera Jollibee runtuh di General Santos.
Rakaman lain turut memperlihatkan sebuah bangunan sekolah yang tidak digunakan lagi runtuh akibat gegaran kuat. Dalam video tersebut, kedengaran jeritan orang awam ketika struktur berkenaan rebah.
Satu lagi video menunjukkan sekumpulan murid sekolah berlindung dalam pelukan guru mereka ketika gempa berlaku. Sebuah struktur logam di kawasan berhampiran turut dilihat runtuh sebelum rakaman berakhir.
Menurut kapsyen yang dimuat naik bersama video itu, tiada individu berada di bawah struktur tersebut ketika kejadian berlaku.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back