PETALING JAYA, 5 Jun - Ketiadaan vokalis terkenal, Ariel, dalam Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita yang bakal berlangsung di Malaysia bulan depan terus menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat setia kumpulan legenda Indonesia itu.
Menjelaskan perkara tersebut, penganjur Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar berkata Ariel kini sedang menjalani tempoh rehat panjang daripada aktiviti berkumpulan, termasuk bersama Peterpan dan Noah.
Menurutnya, tempoh rehat itu dijangka berlangsung antara satu hingga dua tahun, namun tempohnya bergantung kepada perancangan penyanyi berkenaan.
“Ariel sedang berehat dan buat masa ini tidak terlibat bersama Peterpan atau Noah. Beliau kini lebih memberi tumpuan kepada kerjaya solo serta beberapa projek lain,” katanya pada sidang media Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita, semalam.
Thata turut memaklumkan bahawa Ariel baru sahaja menamatkan penggambaran sebuah filem dan kini aktif dalam pelbagai projek kolaborasi bersama artis lain.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan keputusan Ariel untuk berehat membuka ruang kepada anggota lain untuk terus berkarya dan meneruskan legasi Peterpan.
“Ariel mahu rakan-rakannya terus menghasilkan karya. Sebab itu Peterpan kini bergerak sebagai sebuah band walaupun tanpa penglibatan aktif beliau.
“Perjalanan Peterpan tetap mempunyai kaitan dengan Ariel, namun ini juga peluang untuk generasi muda mengenali kumpulan ini dengan lebih dekat,” katanya.
Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 11 Julai depan.
Konsert berkenaan akan menampilkan anggota asal Peterpan iaitu Reza, Loekman, Andika dan Indra. Turut memeriahkan pentas ialah barisan artis jemputan seperti Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna dan Charly Van.
Penyanyi popular Malaysia, Hael Husaini, turut disenaraikan sebagai antara penghibur yang bakal membuat persembahan pada malam tersebut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back