BUDAPEST - Final Liga Juara-Juara antara Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG) Sabtu ini bukan sekadar perebutan trofi Eropah, malah menemukan dua jurulatih yang berkongsi akar dari Barcelona serta falsafah bola sepak yang hampir sama.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan jurulatih PSG, Luis Enrique pernah melalui laluan bola sepak yang saling berkait sejak awal karier mereka di Sepanyol sebelum kini menjadi musuh di pentas terbesar Eropah.
Kedua-duanya turut mempunyai hubungan rapat dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola, yang dianggap antara pengaruh terbesar dalam pendekatan taktikal moden.
“Pep menjadi rujukan kepada semua jurulatih yang mahu bermain bola sepak dengan identiti tertentu,” kata Enrique.
Arteta pula pernah menjadi pembantu Guardiola di Manchester City selama tiga tahun, pengalaman yang banyak membentuk gaya kejurulatihannya hari ini.
Ketika di Barcelona pada awal 2000-an, Arteta berdepan persaingan sengit di bahagian tengah pasukan bersama pemain seperti Xavi Hernandez dan Andres Iniesta, selain kehadiran Guardiola dan Enrique sendiri.
Situasi itu menyaksikan Arteta dipinjamkan ke PSG pada 2001, pengalaman yang disifatkannya sebagai titik penting dalam perjalanan karier.
“Ia pengalaman yang akan saya ingat sepanjang hayat kerana banyak membentuk diri saya sebagai pemain dan jurulatih,” katanya kepada laman rasmi Arsenal.
Arteta kemudian meneruskan karier bersama Rangers, Everton dan Arsenal sebelum kembali ke London sebagai jurulatih pada 2019.
Di Arsenal, beliau mengambil alih pasukan yang bergelut di pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum berjaya mengubah kelab itu menjadi pencabar utama Eropah.
Musim ini, Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun dan kembali ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam dua dekad.
Sementara itu, Enrique juga berjaya membawa revolusi besar di PSG.
Walaupun kelab Paris itu mendominasi saingan domestik sejak sekian lama, kejayaan menjulang Liga Juara-Juara akhirnya hadir selepas ketibaan jurulatih Sepanyol berkenaan.
Musim lalu, PSG menewaskan Inter Milan di final untuk meraih gelaran Eropah pertama mereka.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi menyifatkan Enrique sebagai antara jurulatih terbaik dunia.
“Beliau bukan sahaja jurulatih hebat, tetapi juga insan luar biasa,” katanya.
Enrique yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2015 kini memburu gelaran ketiga peribadi dalam kejohanan itu.
Dalam masa sama, Arteta turut menerima pujian daripada Enrique yang menyifatkannya sebagai pemimpin berkarisma dan memiliki mentaliti kemenangan.
“Anda boleh lihat Arteta seorang pemimpin sebenar yang berjaya membentuk budaya kemenangan dalam pasukan,” katanya.
Final di Budapest bakal mempertemukan dua pasukan dengan pendekatan hampir sama mengutamakan penguasaan bola dan intensiti tinggi namun dibezakan melalui gaya permainan.
Arsenal lebih tersusun dan disiplin dari segi pertahanan, manakala PSG tampil dengan corak menyerang yang lebih agresif.
Pertembungan dua tokoh dari ‘generasi Barcelona’ itu dijangka menjadi antara final Liga Juara-Juara paling menarik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back