MAKKAH – Lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia dilaporkan tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, walaupun rantau Asia Barat masih berdepan ketegangan geopolitik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, kira-kira 1.51 juta jemaah antarabangsa memasuki negara itu setakat minggu lalu, meningkat sekitar 11,000 orang berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan jumlah kehadiran itu direkodkan meskipun wujud kebimbangan terhadap kemungkinan konflik serantau kembali memuncak selepas beberapa siri serangan sebelum ini.
Sebelum gencatan senjata dicapai bulan lalu, Iran dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Arab Saudi serta beberapa negara Teluk lain sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh AS dan Israel.
Dalam insiden pada 8 Mac lalu, dua orang awam dilaporkan maut dalam serangan di bandar Al-Kharj, manakala seorang anggota tentera AS di pangkalan udara berhampiran turut terkorban.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Pertahanan Arab Saudi memperketat kawalan keselamatan termasuk mempamerkan sistem pertahanan udara di sekitar kota suci Makkah bagi memastikan keselamatan para jemaah.
Walaupun situasi serantau masih tegang, kebanyakan jemaah tetap meneruskan ibadah dengan harapan keamanan dapat dikekalkan.
Seorang jemaah dari Mesir, Mohammed Chahada berkata, konflik yang berlaku memberi kesan kepada seluruh dunia dan berharap penyelesaian damai dapat dicapai segera.
“Tiada siapa mahukan peperangan atau kemusnahan,” katanya.
Sementara itu, ramai jemaah turut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan haji selepas bertahun-tahun menunggu, selain berdepan cabaran kos perjalanan dan gangguan penerbangan.
Jemaah dari Maghribi, Jreish Mohammed berkata, peluang menunaikan haji tahun ini merupakan impian yang dinantikannya sejak puluhan tahun lalu.
“Ia impian saya sejak 40 atau 50 tahun lalu, dan tahun ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan.
Pada permulaan ibadah, jemaah menunaikan tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali di Masjidil Haram sebelum bergerak ke Mina untuk bermalam.
Mereka kemudiannya akan menuju ke Padang Arafah yang dianggap kemuncak ibadah haji, lokasi Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.
Selain isu keselamatan, jemaah juga dijangka berdepan cuaca panas melampau dengan suhu mencecah sekitar 45 darjah Celsius sepanjang musim haji tahun ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back