KUALA LUMPUR - Pemain Kuching City FC (KCFC), Yuki Tanigawa kini dilihat berpotensi menjadi antara calon pemain naturalisasi baharu skuad Harimau Malaya selepas genap lima tahun beraksi dalam saingan bola sepak Malaysia.
Pemain kelahiran Jepun berusia 29 tahun itu mula menyertai KCFC pada tahun 2020 sebelum berhijrah ke Kelantan United pada musim berikutnya. Tanigawa kemudian kembali memperkuatkan kelab dari Bumi Kenyalang itu pada musim seterusnya.
Dengan tempoh bermastautin yang sudah mencukupi, pemain yang mampu beraksi di posisi pertahanan dan tengah itu kini layak dipertimbangkan untuk proses naturalisasi bersama skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata beliau terbuka untuk memberi sokongan sekiranya Tanigawa dipanggil menyertai Harimau Malaya pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusan itu bergantung kepada pihak kejurulatihan skuad kebangsaan serta kesediaan pemain berkenaan sendiri.
“Saya bukan jurulatih pasukan kebangsaan, jadi saya bukan individu yang tepat untuk bercakap mengenai pasport atau naturalisasi. Sebagai jurulatih KCFC, kami tentunya mahu dia terus kekal bersama pasukan.
“Tetapi jika ditanya mengenai sokongan kepada pasukan kebangsaan, sudah tentu saya akan menyokong. Namun semuanya bergantung kepada jurulatih Harimau Malaya sama ada mereka memerlukan khidmatnya atau tidak,” katanya.
Aidil turut mengakui keputusan untuk melepaskan pasport asal bukan sesuatu yang mudah buat Tanigawa memandangkan pemain itu sudah berkeluarga.
“Ia juga bergantung sama ada dia mahu melepaskan pasportnya yang berkualiti itu. Dia sudah berkahwin dan mempunyai anak, jadi ia satu keputusan besar,” tambahnya.
Selain Tanigawa, beberapa lagi pemain Liga Super turut dikaitkan dengan proses naturalisasi selepas memenuhi syarat tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia. Antara nama yang disebut ialah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo, serta pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back