LONDON – Arsenal menutup kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan penuh bergaya apabila menewaskan Crystal Palace 2-1 di Selhurst Park sambil meraikan status mereka sebagai juara baharu liga.
Skuad kendalian Mikel Arteta mengumpul 85 mata keseluruhan selepas meraih kemenangan ke-26 musim ini menerusi jaringan Gabriel Jesus dan Noni Madueke. Crystal Palace pula memperoleh gol sagu hati hasil penyudah Jean-Philippe Mateta.
Kejayaan itu menyaksikan Arsenal menamatkan musim tujuh mata di hadapan Manchester City yang tewas 1-2 kepada Aston Villa dalam satu lagi aksi terakhir musim.
Dengan kejuaraan EPL sudah disahkan lebih awal minggu ini, Arteta melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama bagi memberi rehat kepada pemain tonggak menjelang final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), Ahad ini.
Sebelum perlawanan bermula, pemain Crystal Palace turut memberikan penghormatan kepada Arsenal menerusi ‘guard of honour’ sebagai tanda meraikan kejayaan kelab London itu menjulang kejuaraan liga musim ini.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back