LONDON - Penantian panjang Arsenal akhirnya berakhir apabila skuad kendalian Mikel Arteta sah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas keputusan seri 1-1 Manchester City menentang Bournemouth awal pagi tadi.
Kejayaan itu menamatkan kemarau kejuaraan liga Arsenal selama lebih dua dekad sejak era “The Invincibles” di bawah Arsene Wenger pada musim 2003-04.
Empat tahun lalu, situasi di Emirates jauh berbeza. Arsenal ketika itu masih bergelut untuk kembali menjadi pencabar utama EPL dan menamatkan musim 2021-22 dengan ketinggalan 24 mata di belakang Manchester City.
Kegagalan merebut slot Liga Juara-Juara daripada Tottenham Hotspur pada hari terakhir musim turut mencetuskan keraguan terhadap kemampuan Arteta sebagai pengurus.
Namun, bekas pembantu Pep Guardiola itu berjaya mengubah nasib kelab London Utara berkenaan sedikit demi sedikit sehingga kembali berada di puncak bola sepak England.
Kejayaan Arsenal musim ini turut meletakkan nama pemain seperti Declan Rice dan Bukayo Saka sebaris legenda kelab termasuk Patrick Vieira dan Thierry Henry.
Arteta, yang mengambil alih pasukan pada Disember 2019 selepas pemecatan Unai Emery, berdepan cabaran besar ketika itu apabila Arsenal sedang melalui era kemerosotan prestasi.
Selepas meninggalkan Highbury dan berpindah ke Stadium Emirates pada 2006, Arsenal gagal mengekalkan dominasi mereka dalam liga, malah menamatkan musim terakhir Wenger pada 2018 di tangga keenam pencapaian terburuk kelab sejak 1995.
Era Emery pula tidak bertahan lama apabila Arsenal terus gagal layak ke Liga Juara-Juara dan tewas di final Liga Europa sebelum pengendali dari Sepanyol itu dipecat pada 2019.
Arteta kemudian diberikan peluang untuk membina semula pasukan dengan pendekatan tersendiri.
Beliau melakukan rombakan besar termasuk menyingkirkan beberapa pemain senior seperti Pierre-Emerick Aubameyang dan Mesut Ozil demi membentuk budaya baharu dalam bilik persalinan Arsenal.
Walaupun pernah ditekan hebat selepas Arsenal menamatkan musim di tangga kelapan pada 2020 dan 2021, Arteta kekal dengan visinya.
Perkembangan Arsenal mula jelas apabila mereka muncul pencabar kejuaraan pada 2023 sebelum kecundang kepada Manchester City. Mereka sekali lagi terlepas trofi pada musim berikutnya dan sekadar muncul naib juara pada 2025 di belakang Liverpool.
Ketika ramai mula melabel Arsenal sebagai pasukan yang gagal memanfaatkan peluang, Arteta tidak pernah kehilangan keyakinan terhadap projek jangka panjangnya.
Kini, segala usaha dan kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil apabila Arsenal kembali menjulang trofi EPL buat kali ke-14 dalam sejarah kelab.
Bagi Arteta dan penyokong The Gunners, kejayaan ini bukan sekadar kejuaraan tetapi simbol kebangkitan semula sebuah gergasi bola sepak England.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back