LONDON - Musim yang bermula cukup gemilang buat Chelsea selepas menjulang Piala Dunia Kelab FIFA kini berubah menjadi kempen penuh kekecewaan apabila prestasi merosot, pertukaran pengurus dan bantahan penyokong menghantui kelab itu.
Namun, final Piala FA menentang Manchester City di Stadium Wembley malam esok menjadi peluang terakhir buat The Blues menebus maruah serta menamatkan kemarau trofi domestik yang berlarutan sejak lapan tahun lalu.
Pemain pertahanan Chelsea, Trevoh Chalobah mengakui pasukannya berdepan tekanan besar, namun percaya trofi Piala FA mampu mengubah naratif musim mereka.
“Ini peluang untuk kami memberikan segala-galanya. Musim ini bukan seperti yang kami harapkan, tetapi kami masih berpeluang memenangi trofi,” katanya.
Chelsea melalui musim bergelora apabila sudah menukar dua pengurus – Enzo Maresca dan Liam Rosenior – selain gagal bersaing merebut slot Liga Juara-Juara.
Ketidakpuasan hati penyokong turut memuncak apabila kumpulan “Not a Project CFC” merancang perarakan bantahan di Wembley Way sebagai protes terhadap pemilik kelab, BlueCo.
Meskipun kemenangan di Wembley mungkin belum cukup untuk meredakan kemarahan penyokong, ia sekurang-kurangnya dapat menamatkan episod duka Chelsea yang tewas dalam tiga final domestik berturut-turut antara 2020 hingga 2022.
Sementara itu, Manchester City hadir sebagai pilihan utama untuk menjulang trofi sambil terus memburu treble domestik selepas sudah memenangi Piala Liga dan masih bersaing dengan Arsenal dalam perebutan gelaran EPL.
Namun pengurus City, Pep Guardiola menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah Chelsea meskipun lawan mereka kini bergelut di tangga kesembilan liga dan tanpa kemenangan dalam tujuh aksi terakhir.
“Sentiasa satu penghormatan untuk kembali ke final. Harapnya kali ini kami mampu lakukan lebih baik berbanding dua final sebelum ini,” kata Guardiola.
City turut memiliki motivasi tersendiri selepas dikejutkan dalam dua final Piala FA terdahulu apabila tewas kepada Crystal Palace dan Manchester United.
Penyerang berbisa City, Erling Haaland dijangka kembali mengetuai jentera serangan selepas direhatkan ketika menewaskan Crystal Palace 3-0 dalam aksi EPL, Rabu lalu.
Walaupun sudah meledak 161 gol dalam 196 penampilan bersama City, Haaland masih gagal menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam 12 aksi separuh akhir dan final sepanjang kariernya bersama kelab itu.
Chelsea pula berharap jadual padat City memberi sedikit kelebihan buat mereka memandangkan skuad Guardiola perlu berdepan Bournemouth dalam aksi EPL yang penting minggu depan.
Final kali ini juga memperlihatkan jurang pengalaman ketara antara kedua-dua pengurus apabila Chelsea dibimbing pengendali sementara, Calum McFarlane, manakala Guardiola sudah memenangi 15 trofi utama bersama City.
McFarlane bagaimanapun berharap mampu mengikut jejak beberapa pengurus sementara Chelsea terdahulu seperti Guus Hiddink, Roberto Di Matteo dan Rafael Benitez yang pernah menghadiahkan trofi kepada kelab London itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back