Manchester City terus mengekori rapat Arsenal dalam perebutan kejuaraan Premier League selepas menewaskan Crystal Palace 3-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Pep Guardiola tampil dominan walaupun melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama. Gol separuh masa pertama daripada Antoine Semenyo dan Omar Marmoush meletakkan City selesa di depan sebelum Savinho melengkapkan kemenangan pada penghujung permainan.
City hampir kehilangan momentum dalam perebutan takhta liga selepas seri 3-3 menentang Everton minggu lalu, namun kemenangan ke atas Palace memastikan tekanan terus diberikan kepada Arsenal yang kini masih mendahului carta liga.
Phil Foden menjadi watak penting buat tuan rumah apabila mencipta dua bantuan gol. Hantaran menariknya pada minit ke-32 disudahkan Semenyo sebelum lorongan kemasnya sekali lagi membuka ruang buat Marmoush menjaringkan gol kedua City.
Pada penghujung aksi, John Stones yang bakal meninggalkan kelab hujung musim ini menerima sorakan gemuruh penyokong selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. Tidak lama kemudian, larian solo Rayan Cherki membuka ruang kepada Savinho untuk menambah gol ketiga.
Kemenangan itu menyaksikan City kini mengumpul 77 mata, hanya dua mata di belakang Arsenal dengan baki dua perlawanan musim ini. Selain memiliki perbezaan gol lebih baik, City turut mempunyai kelebihan dari segi jumlah jaringan.
Selepas ini, City akan menentang Chelsea dalam final FA Cup Final di Wembley sebelum mengharungi baki aksi liga menentang Bournemouth dan Aston Villa.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back