SINGAPURA, 10 Mei (Bernama) - Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti dua mayat yang ditemukan di kawasan Gunung Dukono, yang dipercayai warga Singapura, menurut Kementerian Luar (MFA).
Dalam satu kenyataan pada Ahad, MFA memaklumkan bahawa pegawai-pegawai kedutaan juga sedang berhubung rapat dengan keluarga mangsa yang terlibat bagi memudahkan proses pengecaman dan akan terus menghulurkan bantuan konsular.
"Pihak berkuasa Indonesia telah memaklumkan kepada pegawai dari Kedutaan Singapura di Jakarta bahawa mereka telah menemukan dua mayat dari Gunung Dukono, yang dipercayai merupakan warga Singapura yang dilaporkan hilang.
"MFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia, terutamanya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada lebih 150 anggota atas usaha mereka dalam keadaan yang sangat sukar dan berbahaya," menurut kenyataan itu.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, mayat kesemua tiga pendaki yang terkorban dalam letusan Gunung Dukono di timur Indonesia telah ditemukan, sekali gus menamatkan secara rasmi operasi SAR pada Ahad.
Gunung Dukono, yang terletak di bahagian utara Pulau Halmahera dalam Wilayah Maluku Utara, meletus pada pagi Jumaat, mengorbankan tiga individu manakala 17 yang lain, terdiri daripada tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia, berjaya diselamatkan.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back