LONDON – Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, mengakui skuad The Red Devils berharap Michael Carrick terus diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan musim depan susulan peningkatan prestasi sejak mengambil alih tugas pengurus sementara.
Carrick, 44, kembali ke Old Trafford pada Januari lalu selepas berakhirnya era Ruben Amorim dan berjaya mengubah prestasi United dalam tempoh singkat.
Di bawah kendalian bekas pemain tengah England itu, United kini hampir menamatkan musim dengan cemerlang apabila berjaya mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah berbaki tiga aksi liga.
Sebelum ini, Kobbie Mainoo turut menyatakan pemain sanggup “berjuang habis-habisan” demi Carrick selepas kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool minggu lalu.
Bagaimanapun, masa depan Carrick bersama United masih belum diputuskan pihak pengurusan kelab.
“Secara jujur, pemain bukan individu yang menentukan siapa akan kekal musim depan, tetapi apa yang saya boleh katakan ialah semua gembira memiliki dia sebagai pengurus.
“Semua pemain menyokongnya. Dia mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemain dan kami memang gembira jika dia terus menjadi pengurus musim depan,” kata Diallo kepada Sky Sports.
Walaupun masih belum merekodkan gol atau bantuan jaringan sejak Carrick mengambil alih pasukan, Diallo tetap mendapat pujian atas komitmen serta kerja kerasnya di atas padang.
Pemain berusia 23 tahun itu berkata, Carrick sentiasa memberi sokongan kepada pemain terutama ketika pasukan berdepan tekanan dan situasi sukar.
“Walaupun ketika melalui detik sukar, dia sentiasa ada untuk bercakap dan membantu pemain.
“Saya rasa perubahan paling besar sekarang ialah kami lebih bersatu sebagai satu pasukan. Jika seseorang melakukan kesilapan, itu bukan masalah individu kerana kesilapan dia juga kesilapan kami bersama,” katanya.
United dijadual bertandang ke Sunderland Sabtu ini, perlawanan yang cukup bermakna buat Diallo selepas pernah dipinjamkan ke Stadium of Light pada musim 2022/23.
“Saya sangat menikmati tempoh bersama Sunderland. Saya tiada apa-apa perkara buruk untuk diperkatakan mengenai kelab itu.
“Sekarang saya antara penyokong mereka kerana saya masih mengikuti setiap perlawanan mereka musim ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back