MANCHESTER – Leeds United mencipta kejutan besar apabila menewaskan Manchester United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, dengan Noah Okafor menjadi watak utama perlawanan selepas menjaringkan kedua-dua gol pasukan pelawat.
Kemenangan itu menyaksikan Leeds terus menjauh daripada zon penyingkiran, manakala Manchester United kekal di tangga ketiga liga dengan 55 mata.
Okafor membuka tirai jaringan seawal perlawanan sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi rembatan yang terkena pemain lawan, sekali gus memberikan Leeds kelebihan selesa 2-0.
United yang baru kembali daripada rehat antarabangsa dilihat bergelut untuk menguasai permainan apabila kerap kehilangan bola di kawasan sendiri akibat tekanan tinggi yang dipamerkan Leeds.
Situasi bertambah sukar buat tuan rumah apabila pertahanan Lisandro Martinez dilayangkan kad merah pada minit ke-56 selepas VAR mengesahkan insiden menarik rambut terhadap Dominic Calvert-Lewin.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, United berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Casemiro pada minit ke-69. Namun, usaha mereka untuk mencari gol penyamaan gagal membuahkan hasil walaupun melancarkan beberapa serangan bertali arus di penghujung permainan.
Calvert-Lewin menyifatkan kemenangan itu hasil disiplin dan perancangan rapi pasukan. “Ini kemenangan penting buat kami. Kami melaksanakan pelan permainan dengan baik untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.
Pengendali Manchester United, Michael Carrick, pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil, terutama insiden kad merah Martinez.
“Pemain berjuang keras walaupun selepas satu keputusan yang sangat mengecewakan. Ia antara keputusan paling buruk yang pernah saya lihat,” katanya.
Carrick turut menegaskan pasukannya perlu segera bangkit dan memperbaiki prestasi menjelang perlawanan seterusnya dengan musim masih berbaki.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back