Kuala Lumpur - Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi bersama adiknya, Hazwani Helmi, menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dengan tekad membawa doa serta solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin.
Menerusi perkongsian video di Instagram, kedua-duanya menjelaskan bahawa “Sumud” bukan sekadar istilah, sebaliknya melambangkan semangat perjuangan dan ketabahan rakyat Palestin yang telah berdepan konflik selama hampir lapan dekad.
“Sumud bukan hanya perkataan, ia adalah jiwa perjuangan. Ia menggambarkan kekuatan rakyat Palestin dan menjadi harapan ketika dunia seakan membisu,” kata mereka.
Menurut Heliza dan Hazwani, penyertaan mereka dalam misi tersebut adalah untuk membawa doa dan sokongan rakyat Malaysia, selain menyeru kesatuan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.
Difahamkan, kedua-duanya kini berada di atas kapal layar sebagai sebahagian daripada delegasi antarabangsa, dengan misi menyampaikan bantuan serta menyemarakkan harapan buat penduduk Gaza.
Di ruangan komen, ramai netizen tampil memberikan kata-kata semangat dan doa agar misi berkenaan berjalan lancar. Antara yang turut menyatakan sokongan ialah pelakon Tiz Zaqyah.
Misi GSF 2.0 yang berlepas pada 6 April dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghimpunkan lebih 1,000 peserta dan sekitar 80 kapal dari seluruh dunia. Inisiatif ini bertujuan menentang sekatan ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan pakaian.
Selain Heliza dan Hazwani, misi itu turut disertai personaliti tempatan termasuk Ardell Aryana dan Haroqs yang sebelum ini pernah terlibat dalam delegasi GSF terdahulu.
Delegasi kali ini juga melibatkan pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, guru dan pembina ekologi yang akan memberikan bantuan serta sokongan komuniti kepada rakyat Palestin.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back