MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa mengakui pasukannya kekurangan tuah selepas tewas 2-1 kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi Luis Diaz pada minit ke-41 sebelum Harry Kane menggandakan kelebihan sejurus babak kedua bermula. Kylian Mbappe kemudian merapatkan kedudukan buat Real Madrid pada minit ke-74, namun ia tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan tuan rumah.
Keputusan itu memberikan kelebihan tipis kepada Bayern menjelang pertemuan kedua di Allianz Arena minggu depan, dengan pemenang bakal berdepan sama ada Paris Saint-Germain atau Liverpool di peringkat separuh akhir.
Mengulas perlawanan, Arbeloa menyifatkan kekalahan tersebut sepatutnya boleh dielakkan jika pasukannya lebih berhati-hati dan bernasib baik.
“Kami melakukan dua kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Menentang pasukan seperti ini, anda pasti akan dihukum,” katanya.
Walaupun kecewa, beliau tetap yakin peluang Real Madrid masih terbuka luas untuk bangkit pada aksi timbal balik di Jerman.
“Jika ada satu pasukan yang mampu menang di Munich, ia adalah Real Madrid. Kami tahu cabarannya besar, tetapi kami akan memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Arbeloa turut menegaskan kedua-dua gol Bayern berpunca daripada kelemahan sendiri, khususnya ketika kehilangan bola dan gagal melakukan tekanan segera.
Dalam perkembangan lain, beliau mengakui ketiadaan Aurelien Tchouameni akibat penggantungan bakal memberi kesan, namun percaya pemain lain mampu mengisi kekosongan tersebut.
Jurulatih itu juga mempersoalkan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Jonathan Tah susulan kekasaran ke atas Mbappe.
Sementara itu, mengenai tahap kecergasan Jude Bellingham, Arbeloa menjelaskan pemain itu masih dalam proses kembali ke prestasi terbaik selepas lama tidak beraksi.
“Kami perlu membawanya secara berperingkat. Saya yakin dia akan memberi impak di Munich nanti,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back