MUNICH: Manchester United dijangka perlu berbelanja besar sekiranya serius mahu mendapatkan penyerang utama Bayern Munich, Harry Kane pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Presiden Kehormat Bayern, Uli Hoeness, menyatakan nilai semasa Kane boleh mencecah sekitar £200 juta (RM1.06 bilion), susulan prestasi luar biasa pemain itu yang telah menjaringkan 48 gol dalam 40 penampilan musim ini.
Kane, yang terikat kontrak di Allianz Arena sehingga Jun 2027, dilaporkan mempunyai klausa pelepasan bernilai £57 juta (RM302.88 juta). Namun, Hoeness percaya penyerang berusia 32 tahun itu tidak berminat untuk mengaktifkan klausa tersebut.
“Dia tidak menunjukkan sebarang minat untuk meninggalkan kelab. Kane dan keluarganya sangat selesa di sini, dan kami menjangkakan dia akan kekal sehingga kontraknya tamat,” katanya.
Menurut Hoeness lagi, peningkatan nilai pasaran Kane turut dipengaruhi oleh perpindahan pemain lain, termasuk Alexander Isak yang dilaporkan bernilai £130 juta.
“Jika Isak bernilai £130 juta, maka Kane boleh dianggap bernilai £200 juta atau lebih,” jelasnya.
Selain United, beberapa kelab besar Eropah termasuk Barcelona serta pasukan dari Arab Saudi turut dikaitkan dengan minat terhadap penyerang England itu.
Sekiranya perpindahan tersebut menjadi kenyataan, ia berpotensi memecahkan rekod dunia yang kini masih dipegang oleh Neymar selepas Paris Saint-Germain membayar £200 juta kepada Barcelona pada 2017.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back