LONDON – Masa depan bintang muda Chelsea, Cole Palmer, kini menjadi tanda tanya apabila pemain itu dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Menurut laporan, tiga kelab elit Eropah Manchester United, Real Madrid dan Bayern Munich sedang memantau rapat situasi pemain berusia 23 tahun itu, yang kini dianggarkan bernilai sekitar £150 juta walaupun kontraknya bersama Chelsea FC masih panjang hingga 2033.
Palmer difahamkan berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal semasa Chelsea, yang dilihat mengehadkan kebebasannya di atas padang. Selain itu, ketiadaan rakan gandingan utamanya, Nicolas Jackson, yang kini dipinjamkan ke Bayern Munich, turut memberi kesan terhadap prestasinya.
Sebelum ini, kombinasi Palmer dan Jackson terbukti berbisa apabila mereka membantu menghasilkan 18 gol dan 14 bantuan gol musim lalu. Namun, gandingan semasa bersama João Pedro dan Liam Delap masih belum mencapai impak yang sama.
Musim ini juga tidak memihak kepada bekas pemain Manchester City itu apabila dia dibelenggu kecederaan betis dan tumit. Situasi tersebut menyukarkan Palmer untuk membantu Chelsea, yang kini berada di tangga keenam Premier League dan berisiko terlepas slot ke UEFA Champions League.
Dalam perkembangan sama, Palmer dilaporkan berminat untuk kembali ke kampung halamannya di Manchester, sekali gus membuka peluang untuk menyertai Manchester United. Faktor hubungan rapat dengan Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox, yang pernah membimbingnya di akademi City, dilihat mampu memainkan peranan penting dalam rundingan.
Wilcox sebelum ini percaya Palmer memiliki potensi besar untuk muncul sebagai calon Ballon d'Or pada masa depan, menjadikan pemain itu antara aset paling bernilai dalam pasaran perpindahan ketika ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back