WASHINGTON - Mahkamah di Santa Fe memerintahkan Meta membayar ganti rugi sebanyak AS$375 juta (RM1.76 bilion) selepas didapati gagal melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian, termasuk eksploitasi seksual.
Keputusan itu dicapai oleh juri yang mendapati syarikat gergasi media sosial berkenaan bertanggungjawab mendedahkan golongan bawah umur kepada pemangsa serta pelbagai risiko lain melalui platformnya.
Dalam masa sama, juri turut memutuskan bahawa Meta melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri dengan mengelirukan orang ramai mengenai tahap keselamatan produknya untuk kanak-kanak.
Perbicaraan itu melibatkan keterangan daripada 40 saksi, termasuk pemberi maklumat, selain ratusan dokumen dalaman, laporan dan e-mel yang dikemukakan sebagai bukti.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa algoritma Meta membantu menghubungkan pengguna dewasa dengan kandungan dimuat naik oleh remaja, sambil mendakwa syarikat itu menyembunyikan penemuan dalaman berkaitan risiko terhadap golongan muda.
Kes ini dilihat sebagai penanda aras penting yang berpotensi mempengaruhi ribuan saman serupa terhadap syarikat media sosial lain di seluruh Amerika Syarikat.
Fasa kedua perbicaraan dijadual bermula 4 Mei, dengan hakim akan mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan penalti tambahan serta memaksa Meta melaksanakan perubahan terhadap operasi dan platformnya.
Dalam perkembangan berkaitan di California, mahkamah turut akan menilai sama ada Meta dan YouTube boleh dipertanggungjawabkan atas kesan negatif terhadap kanak-kanak, termasuk isu ketagihan penggunaan platform.
Kes ini bermula pada 2023 apabila Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez, memfailkan saman terhadap Meta syarikat induk kepada Facebook, Instagram dan WhatsApp serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg.
Torrez mendakwa Meta gagal melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual, pelawaan dalam talian dan pemerdagangan manusia, sambil menuntut ganti rugi maksimum AS$2.2 bilion.
Beliau menyifatkan keputusan mahkamah sebagai “kemenangan bersejarah” bagi kanak-kanak dan keluarga yang terjejas, sambil menuduh syarikat itu mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan pengguna muda.
“Eksekutif Meta mengetahui produk mereka memudaratkan kanak-kanak, mengabaikan amaran kakitangan sendiri dan mengelirukan orang awam,” katanya.
Bagaimanapun, Meta menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan akan mengemukakan rayuan.
Menurut jurucakap syarikat itu, Meta komited untuk meningkatkan keselamatan pengguna dan mengakui cabaran dalam mengekang kandungan berbahaya serta pihak berniat jahat di platformnya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back