Mohamed Salah mengesahkan beliau akan menamatkan kariernya bersama Liverpool FC pada penghujung musim 2025-26, sekali gus menutup perjalanan hampir sedekad yang penuh gemilang di Anfield.
Penyerang kelahiran Mesir itu dilaporkan telah mencapai persetujuan bersama pengurusan kelab bagi mengakhiri kerjayanya dengan The Reds, selepas sembilan tahun menyarung jersi nombor 11.
Dalam satu kenyataan, Salah menjelaskan bahawa pengumuman awal dibuat demi ketelusan mengenai masa depannya, selain sebagai tanda penghargaan kepada penyokong setia Liverpool yang sentiasa menyokongnya sejak hari pertama.
Sejak menyertai kelab dari AS Roma pada 2017, Salah berkembang menjadi antara legenda moden Liverpool. Beliau memainkan peranan penting dalam membantu pasukan meraih pelbagai kejuaraan utama termasuk dua gelaran English Premier League, UEFA Champions League, Piala Dunia Kelab FIFA, Super Cup UEFA, Piala FA, dua Piala Liga serta Perisai Komuniti.
Dari segi individu, pencapaiannya juga luar biasa dengan 255 gol dalam 435 penampilan, meletakkannya sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman kelab. Salah turut memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali sepanjang kariernya di England.
Walaupun masa depannya kini sudah jelas, Salah menegaskan fokus utamanya kekal untuk membantu Liverpool menamatkan musim ini dengan pencapaian terbaik.
Satu majlis khas bagi meraikan legasi dan sumbangan besar beliau dijangka berlangsung hujung tahun ini sebelum beliau secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back