KUALA LUMPUR: Tahun ini berpotensi mencatatkan suhu global tertinggi dalam sejarah moden, didorong oleh gabungan fenomena El Niño dan kesan berterusan pemanasan global.
Pakar klimatologi, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, fenomena El Niño lazimnya meningkatkan suhu dunia, seperti yang berlaku pada 2024 apabila suhu global meningkat sehingga 1.55 darjah Celsius sekali gus menjadikannya tahun terpanas pernah direkodkan.
Menurut beliau, suhu global pada 2025 sedikit menurun akibat pengaruh La Niña, iaitu fasa penyejukan dalam kitaran iklim global. Namun, trend pemanasan jangka panjang menyebabkan tahun tersebut masih direkodkan sebagai antara tiga tahun paling panas setakat ini.
El Niño Dijangka Bermula Julai
Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat meramalkan fenomena El Niño akan mula terbentuk antara Julai hingga Ogos tahun ini, sebelum mencapai kemuncak menjelang hujung tahun dan berlarutan hingga awal 2027. Fenomena ini dijangka beransur lemah sekitar Mac hingga April, sebelum berakhir pada Mei tahun berikutnya.
“Kebarangkalian berlakunya El Niño pada musim monsun barat daya melebihi 70 peratus, dan boleh meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang hujung tahun,” katanya.
El Niño merujuk kepada pemanasan luar biasa suhu permukaan laut yang boleh menyebabkan suhu persekitaran meningkat melebihi 37 darjah Celsius, malah berpotensi mencecah 40 darjah Celsius dalam keadaan kering dan kurang lembap.
Risiko Kemarau dan Jerebu Meningkat
Dr Fredolin menjelaskan, tanda awal El Niño dapat dikesan apabila lapisan termoklin di timur Lautan Pasifik melemah, sekali gus mengurangkan aliran air sejuk ke permukaan dan meningkatkan suhu laut.
Katanya, tanda-tanda awal fenomena itu sudah mula dikesan, dan berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun penyelidikan, El Niño kali ini berkemungkinan kuat dan berpanjangan sehingga awal tahun depan.
“Keadaan cuaca kering yang dibawa El Niño meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan jerebu,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back