KUALA LUMPUR – Status hubungan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen, susulan beberapa petunjuk yang mencetuskan pelbagai spekulasi.
Perhatian mula tertumpu selepas satu video sambutan hari pertama Aidilfitri dimuat naik oleh Syed Saddiq di media sosialnya. Dalam video tersebut, Ahli Parlimen Muar itu dilihat meluangkan masa bersama keluarga, termasuk momen bersalaman dan bermaaf-maafan sebelum mereka bersama-sama menari dalam suasana penuh keceriaan.
Namun, bukan kemeriahan itu yang menjadi fokus utama warga maya. Sebaliknya, susunan bungkusan hadiah yang kelihatan teratur di atas lantai mencetuskan tanda tanya. Ada yang mendakwa ia menyerupai set hantaran yang lazimnya digunakan dalam majlis pertunangan atau perkahwinan.
Spekulasi semakin hangat apabila kedua-dua individu berkenaan dilihat mengenakan busana sedondon pada Aidilfitri warna hijau pada hari pertama dan merah jambu pada hari kedua.
Lebih menguatkan lagi desas-desus, timbul dakwaan tidak rasmi bahawa pasangan itu dikatakan bakal melangsungkan majlis istimewa pada 28 Mac, iaitu kira-kira seminggu selepas Aidilfitri. Malah, terdapat juga bayangan daripada rakan artis mengenai kemungkinan tema busana berwarna kuning untuk acara tersebut.
Sebelum ini, Bella turut mencetuskan persoalan apabila berkongsi gambar bersama Syed Saddiq dengan latar lagu klasik “Malam Bulan Di Pagar Bintang” di media sosial.
Sehingga kini, kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan spekulasi yang berlegar.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back