MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Michael Carrick menegaskan kelab itu tidak mampu kehilangan kapten pasukan, Bruno Fernandes, ketika spekulasi mengenai masa depannya di Old Trafford terus hangat diperkatakan menjelang jendela perpindahan musim panas.
Fernandes sebelum ini memberi bayangan mengenai kemungkinan meninggalkan United selepas kontraknya hanya berbaki semusim. Dalam temu bual bersama media Portugal pada Disember lalu, pemain tengah itu tidak menolak peluang untuk mencari cabaran baharu pada penghujung musim ini.
Antara kelab yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya ialah juara Arab Saudi, Al-Hilal, yang dikatakan bersedia menawarkan bayaran perpindahan tinggi kepada United selain kontrak lumayan buat pemain antarabangsa Portugal itu.
Carrick bagaimanapun berharap pemain berusia 30 tahun itu akan terus kekal kerana peranannya yang sangat penting dalam pasukan.
“Bruno bukan pemain yang kami mahu lepaskan sekarang. Dia sangat penting kepada pasukan dan kehilangan khidmatnya pasti memberi kesan besar.
“Saya bercakap berdasarkan prestasi dan sumbangannya kepada pasukan. Namun keputusan muktamad bukan di tangan saya, jadi saya hanya boleh berharap dia akan kekal,” katanya.
Fernandes sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencipta dua bantuan gol ketika membantu United menewaskan Aston Villa di Old Trafford baru-baru ini.
Dua assist tersebut menjadikan jumlah bantuan gol Fernandes musim ini meningkat kepada 16, sekali gus mengatasi rekod 15 assist yang pernah dicatat legenda United, David Beckham pada musim 1999/2000.
Fernandes berkata dia lebih berbangga dapat membantu rakan sepasukan menjaringkan gol berbanding mengejar rekod peribadi.
“Saya gembira dapat membantu rakan-rakan menjaringkan gol. Ia satu pencapaian besar, tetapi yang lebih penting adalah memastikan pasukan menamatkan musim di kedudukan lebih baik,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, United memperoleh jaringan menerusi Casemiro, Matheus Cunha dan Benjamin Sesko, manakala gol saguhati Villa dijaringkan oleh Ross Barkley.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back