MANCHESTER: Penyerang sensasi Kylian Mbappé dijangka kembali beraksi apabila Real Madrid bertandang ke Stadium Etihad untuk menentang Manchester City dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik UEFA Champions League awal pagi esok.
Mbappé sebelum ini terlepas perlawanan pertama minggu lalu akibat kecederaan lutut, namun Real tetap mencatat kemenangan selesa 3-0 di Madrid. Penyerang Perancis itu kini dilaporkan sudah pulih dan bersedia untuk kembali membantu pasukan.
Pengendali Real, Álvaro Arbeloa berkata Mbappé berada dalam keadaan baik dan berpotensi diturunkan menentang City.
“Mbappé sudah bersedia untuk bermain. Saya tidak sabar melihat dia kembali ke padang, menikmati permainannya dan menjaringkan gol seperti kebiasaannya. Sudah tentu dia akan menjadi pemain penting buat pasukan,” katanya.
Mbappé tampil cemerlang musim ini apabila sudah menjaringkan 38 gol dalam 33 penampilan bersama Real.
Sementara itu, pemain tengah England Jude Bellingham turut mengikut skuad ke Manchester selepas semakin pulih daripada kecederaan hamstring, namun masih belum bersedia untuk diturunkan.
Menurut Arbeloa, kehadiran Bellingham tetap penting untuk moral pasukan.
“Dia mahu bersama rakan sepasukan. Saya gembira melihat dia semakin hampir kembali. Penting untuk dia berada bersama pasukan kerana dia tetap seorang pemimpin walaupun tidak bermain,” katanya.
Real kini berada di landasan baik untuk mara ke suku akhir selepas memiliki kelebihan besar daripada perlawanan pertama, sekali gus berpeluang menyingkirkan City daripada saingan Eropah buat musim ketiga berturut-turut.
Dalam masa sama, pertahanan Real Antonio Rüdiger menjangka pertembungan sengit dengan penyerang City, Erling Haaland.
“Berhadapan pemain seperti Haaland sentiasa menarik. Saya suka persaingan fizikal dan dia juga begitu. Dia penyerang bertaraf dunia dan saya menantikan cabaran itu,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back