MANCHESTER - Manchester United mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Aston Villa 3-1 dalam aksi di Old Trafford, malam tadi.
Pasukan tuan rumah memastikan kemenangan menerusi dua gol pada separuh masa kedua, termasuk jaringan penting oleh Matheus Cunha hasil hantaran tepat Bruno Fernandes.
Hantaran tersebut turut menyaksikan Fernandes mencipta rekod kelab dengan 16 bantuan jaringan dalam satu musim Liga Perdana Inggeris. Ia juga menjadi bantuan ke-100 pemain Portugal itu bersama United dalam semua pertandingan.
United membuka jaringan pada minit ke-53 apabila Casemiro menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Fernandes.
Bagaimanapun, Aston Villa berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi jaringan Ross Barkley.
Perlawanan yang dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri berubah pada minit ke-71 apabila Cunha menjaringkan gol dari sebelah kiri kotak penalti untuk meletakkan United kembali di hadapan.
Pemain gantian Benjamin Sesko kemudian mengesahkan kemenangan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-81 menerusi rembatan kencang dari tengah kotak penalti.
Kemenangan itu menyaksikan United kini mengumpul 54 mata selepas 30 perlawanan, tiga mata di hadapan Aston Villa yang berada di tangga keempat dengan 51 mata.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back