ISTANBUL – Jaringan awal Mario Lemina memberikan Galatasaray kemenangan tipis 1-0 ke atas Liverpool dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit ketujuh apabila Lemina menanduk masuk bola selepas Victor Osimhen terlebih dahulu menanduk sepakan penjuru ke arah gawang Liverpool.
Kemenangan itu memberi kelebihan penting kepada juara Turkiye berkenaan menjelang perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Anfield minggu depan.
Lemina, yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, meluahkan rasa gembiranya selepas membantu pasukan meraih kemenangan.
“Kami berjuang habis-habisan seperti yang kami lakukan sebelum ini. Terima kasih kepada rakan sepasukan dan penyokong yang sentiasa menyokong kami,” katanya.
Keputusan tersebut turut mengulangi pertemuan kedua-dua pasukan pada September lalu dalam fasa liga, apabila Galatasaray turut mencatat kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti Osimhen.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, yang mengendalikan pasukan itu buat kali ke-100, mengakui keputusan tersebut agak mengecewakan memandangkan pasukannya mencipta beberapa peluang.
“Ia terasa seperti deja vu. Keputusannya sama seperti tiga bulan lalu, tetapi kali ini kami sebenarnya mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Kedua-dua pasukan sebenarnya berjaya menjaringkan gol pada babak kedua, namun masing-masing dibatalkan.
Osimhen sempat menolak bola ke dalam gawang selepas sejam permainan, tetapi gol itu dibatalkan kerana Baris Alper Yilmaz berada dalam kedudukan ofsaid ketika gerakan bermula.
Liverpool pula menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 selepas kekecohan di depan gawang, namun VAR membatalkan jaringan tersebut apabila bola didapati terkena tangan pertahanan, Ibrahima Konate sebelum masuk ke dalam gawang.
Galatasaray terus memberi tekanan selepas mendahului, memaksa penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili, melakukan beberapa aksi menyelamat penting.
Menjelang penghujung perlawanan, Liverpool kembali mengancam tetapi penjaga gol tuan rumah, Ugurcan Cakir, tampil cemerlang menafikan percubaan Hugo Ekitike.
Walaupun tewas, kapten Liverpool, Virgil van Dijk tetap optimis menjelang perlawanan timbal balik di Anfield.
“Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menyudahkannya. Dalam perlawanan seperti ini, peluang perlu diterjemahkan kepada gol. Bermain di Anfield memberi kelebihan kepada kami dan segala-galanya masih terbuka,” katanya.
Galatasaray mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Juventus dengan agregat 7-5 dalam aksi playoff, manakala Liverpool layak secara automatik selepas menamatkan saingan fasa liga di tempat ketiga.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back