NEWCASTLE – Lamine Yamal muncul penyelamat FC Barcelona apabila sepakan penalti lewat permainannya memastikan keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik UEFA Champions League awal pagi tadi.
Pasukan tuan rumah dilihat hampir membawa bekalan kelebihan ke perlawanan timbal balik selepas Harvey Barnes menjaringkan gol pada minit ke-86 menerusi voli hasil hantaran lintang Jacob Murphy di St James' Park.
Namun kegembiraan penyokong Newcastle tidak bertahan lama apabila pertahanan Malick Thiaw menjatuhkan Dani Olmo di dalam kotak penalti pada minit keempat masa kecederaan.
Yamal, 18, kekal tenang untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan menewaskan penjaga gol Aaron Ramsdale, sekali gus mengikat kedudukan buat Barcelona.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe, mengakui keputusan itu sukar diterima walaupun pasukannya mempamerkan prestasi memberangsangkan.
“Ia benar-benar sukar diterima. Saya rasa kami bermain sangat baik menentang pasukan yang kuat. Kami mengekalkan intensiti permainan yang tinggi untuk tempoh yang lama,” katanya.
“Detik di penghujung perlawanan memberikan gambaran negatif, tetapi saya tidak mahu ia menenggelamkan 93 minit aksi baik yang dipamerkan pasukan.”
Sebelum itu, Newcastle hampir membuka jaringan lebih awal pada babak kedua apabila Joelinton menyambar bola muntah hasil rembatan Barnes yang terkena tiang. Namun jaringan tersebut dibatalkan selepas pengadil mengesan kedudukan ofsaid.
The Magpies turut mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi kepantasan Barnes, Anthony Elanga dan William Osula, namun gagal memanfaatkan peluang terbaik.
Sementara itu, Barcelona berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan Newcastle, dengan peluang terbaik hadir melalui Robert Lewandowski yang hampir menjaringkan gol hasil hantaran Raphinha, namun percubaannya tersasar.
Gol penalti Yamal pada masa kecederaan memastikan kedudukan kekal seimbang menjelang aksi timbal balik yang dijadual berlangsung di Sepanyol pada 18 Mac ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back