NEWCASTLE – Pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick, mengakui kekalahan 2-1 kepada Newcastle United di St James’ Park amat mengecewakan, terutama kerana ia merupakan kekalahan pertamanya sejak mengambil alih pasukan itu.
Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan oleh William Osula yang masuk sebagai pemain gantian, meskipun Newcastle terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua perlawanan.
Keputusan tersebut memberi tamparan kepada usaha Manchester United untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Carrick, bekas pemain tengah Red Devils yang mengambil alih tugas pengendali sementara pada Januari, sebelum ini mencatatkan rekod cemerlang dengan enam kemenangan dan satu keputusan seri dalam tujuh perlawanan pertamanya. Malah, beliau juga tidak pernah tewas ketika mengendalikan pasukan secara sementara pada 2021.
Dalam perlawanan itu, Newcastle kehilangan Jacob Ramsey pada awal masa kecederaan babak pertama sebelum mendahului hasil sepakan penalti Anthony Gordon.
Namun Manchester United berjaya menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat menerusi jaringan Casemiro.
Walaupun memiliki kelebihan pemain sepanjang babak kedua, United gagal memanfaatkan peluang yang ada. Sebaliknya, Osula muncul wira Newcastle apabila melakukan larian pantas di sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan melencong yang menewaskan penjaga gol, Senne Lammens.
Carrick mengakui prestasi pasukannya tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain malam ini. Permainan sebenarnya berpihak kepada kami, tetapi pujian harus diberikan kepada Newcastle atas cara mereka mengendalikan situasi itu.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan sukar, tetapi kami gagal menggunakan peluang yang ada. Saya amat kecewa,” katanya.
Menurut Carrick, kekurangan seorang pemain dalam pasukan lawan tidak boleh dijadikan alasan atas kekalahan tersebut.
“Ia bukan kerana mereka bermain dengan 10 orang. Kami sendiri tidak bermain dengan cukup baik. Kami tidak boleh menggunakan perkara itu sebagai alasan. Semua orang perlu mengambil tanggungjawab,” katanya lagi.
Manchester United kini berada di tangga ketiga liga dan tidak terlibat dalam kejohanan lain, dengan Carrick menegaskan pasukannya perlu segera bangkit pada perlawanan seterusnya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back