PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh esok bermula pukul 5.50 petang hingga 9.17 malam, menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Fenomena ini adalah satu-satunya gerhana bulan penuh pada tahun ini, dengan gerhana penuh seterusnya dijangka hanya berlaku pada 31 Disember 2028.
MYSA menjelaskan bahawa gerhana akan melalui beberapa fasa:
- Fasa separa (U1): bermula pukul 5:50 petang
- Fasa penuh (U2): bermula pukul 7:04 malam
- Kemuncak gerhana (GE): pukul 7:33 malam
- Fasa penuh tamat: pukul 8:02 malam
- Fasa separa akhir (U3): berakhir pukul 9:17 malam
Secara keseluruhan, gerhana ini berlangsung sekitar 5 jam 39 minit, manakala fasa bulan penuh hanya hampir 58 minit.
Bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, bulan akan terbit ketika fasa penuh, namun mungkin sukar dilihat kerana langit masih agak terang ketika senja. Sabah dan Sarawak pula mempunyai peluang lebih baik untuk mencerap kerana bulan terbit lebih awal dan berada pada sudut lebih tinggi. Di Kuala Lumpur, ketinggian bulan dijangka hanya dua darjah dari ufuk timur ketika kemuncak gerhana.
Fenomena ini turut boleh dilihat di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara, dan Amerika Tengah. Sebaliknya, Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan hanya menyaksikan gerhana separa.
Gerhana bulan berlaku apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan, menyebabkan bayang-bayang Bumi menutupi bulan. MYSA menasihati orang ramai bahawa fenomena ini boleh disaksikan dengan mata kasar, bergantung pada keadaan cuaca. Penggunaan binokular atau teleskop akan memberikan pandangan yang lebih jelas.
Sumber: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back