PETALING JAYA – Beberapa rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dan Qatar berkongsi detik mencemaskan apabila mendakwa terdengar bunyi letupan serta dentuman kuat ketika ketegangan antara Iran dan Israel dilaporkan semakin memuncak.
Menerusi perkongsian tular di platform Threads, seorang wanita yang dipercayai berada di Riyadh memaklumkan dia cuba untuk kekal tenang walaupun mendengar bunyi letupan berhampiran kawasan kediamannya.
“Kawan-kawan lain kat Saudi dengar tak?” tulisnya ringkas dalam hantaran tersebut.
Di ruangan komen, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman berbeza. Ada yang mendakwa tidak mendengar sebarang letupan, namun memaklumkan terdapat pesawat berlegar-legar di ruang udara kawasan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi pengguna yang dipercayai rakyat Malaysia di Qatar memohon doa selepas mendakwa beberapa kali terdengar dentuman dipercayai misil yang jatuh di negara itu.
“Doakan kami yang di Qatar ya teman-teman. Berulang kali dentuman misil Iran jatuh di Qatar,” katanya dalam hantaran yang meraih puluhan ribu tontonan.
Seorang lagi pengguna turut mendakwa melihat objek menyerupai misil melintasi ruang udara selepas beberapa kali terdengar bunyi dentuman kuat.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa di Arab Saudi mahupun Qatar berhubung dakwaan insiden berkenaan.
Perkongsian tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga serta kenalan di Asia Barat.
Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih dan tidak menyebarkan berita yang belum disahkan bagi mengelakkan panik serta kekeliruan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back