SAN FRANCISCO: Meta mengumumkan bahawa Instagram akan mula memaklumkan ibu bapa sekiranya anak remaja mereka berulang kali membuat carian kandungan berkaitan bunuh diri atau mencederakan diri dalam tempoh masa singkat.
Langkah baharu itu hadir ketika syarikat berkenaan berdepan tekanan undang-undang yang semakin memuncak berhubung keselamatan pengguna muda di platformnya.
Ciri notifikasi berkenaan dijadual diperkenalkan dalam beberapa minggu akan datang di Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Kanada sebelum diperluaskan ke negara lain menjelang lewat 2026.
Menurut Meta, amaran akan dicetuskan apabila remaja membuat beberapa carian menggunakan istilah berkaitan dalam jangka masa singkat. Ibu bapa yang mengaktifkan ciri penyeliaan ibu bapa di Instagram akan menerima pemberitahuan melalui e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp serta notifikasi dalam aplikasi, lengkap dengan sumber rujukan pakar bagi membantu mereka mengendalikan perbualan sensitif bersama anak.
Instagram sebelum ini telah menyekat carian istilah tertentu yang dikaitkan dengan bunuh diri dan perbuatan mencederakan diri, selain mengarahkan pengguna kepada talian bantuan serta organisasi sokongan. Namun, sistem baharu itu direka untuk mengesan kes remaja yang terus mencuba membuat carian walaupun berdepan sekatan.
Meta memaklumkan pihaknya berunding dengan Kumpulan Penasihat Bunuh Diri dan Mencederakan Diri Sendiri dalam menetapkan ambang pencetus notifikasi. Syarikat itu turut menegaskan pendekatan berhati-hati diambil, walaupun mengakui terdapat kemungkinan notifikasi dihantar dalam situasi yang tidak melibatkan kebimbangan sebenar.
Pengumuman ini dibuat ketika Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, memberi keterangan dalam satu perbicaraan bersejarah di California berhubung dakwaan bahawa syarikatnya dan beberapa pihak lain secara sengaja mewujudkan ketagihan dalam kalangan pengguna bawah umur.
Dalam masa sama, beberapa negara memperketat kawalan terhadap akses kanak-kanak kepada media sosial. Australia sebelum ini melarang individu bawah 16 tahun daripada menggunakan platform berkenaan, manakala Perancis, Denmark, Sepanyol dan United Kingdom turut mempertimbangkan langkah serupa.
Sementara itu, perbicaraan berprofil tinggi di Los Angeles melibatkan dakwaan terhadap Meta dan YouTube milik Google dijangka berlanjutan sehingga akhir Mac. Juri akan menentukan sama ada syarikat berkenaan bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan mental yang dialami seorang plaintif berusia 20 tahun dari California.
Keputusan kes tersebut dijangka menjadi penanda aras penting dalam ribuan saman lain yang mendakwa media sosial menyumbang kepada peningkatan isu kemurungan, kebimbangan dan gangguan kesihatan mental dalam kalangan golongan muda.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back